KUALA KRAI: Lebih 400 penduduk dari tujuh buah kampung di Mukim Mambong di sini terus menyerbu puncak bukit sejauh lima kilometer jika mahu mendapatkan capaian internet walaupun masalah tersebut pernah diajukan kepada pihak berkenaan sebelum ini.
Kerperitan tersebut turut dirasai oleh golongan pelajar yang memerlukan kemudahan Internet untuk membuat rujukan bagi membantu proses pembelajaran.
Walaupun terpaksa berdepan risiko, difahamkan puncak bukit di kampung tersebut merupakan lokasi ‘tunggal’ yang mempunyai capaian internet tinggi.
Masalah tersebut sudah diajukan kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab SMU (A) Saadatul Qura, Dami Nur Iman Omar, 17, setiap hari dia terpaksa menunggang motosikal untuk ke kawasan itu bagi membuat rujukan serta menyiapkan kerja sekolah.
Menurutnya, puncak bukit berkenaan menjadi tumpuan pelajar selain turut dilengkapi bangsal bagi memudahkan pelajar untuk belajar.
“Selepas waktu sekolah iaitu di antara pukul 3 hingga 5 petang, saya dan rakan-rakan akan naik ke kawasan puncak bukit untuk mendapatkan capaian internet.
“Kami akan ke kawasan itu setiap hari kecuali waktu hujan memandangkan jalan untuk puncak bukit berkenaan agak licin dan sangat berbahaya untuk dilalui,” katanya.
Haziq Daniel Ramly, 15, pula memberitahu, capaian internet di puncak bukit itu dapat membantu dia dan rakan-rakan kerana kawasan kampung tidak mempunyai liputan telekomunikasi.
Katanya, dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa naik ke puncak bukit untuk mendapatkan capaian internet.
“Oleh itu, kami amat berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah capaian internet di kampung kami dengan segera kerana kami amat memerlukannya,”ujarnya. –UTUSAN










