MPN kecewa kerajaan lambat ambil tindakan pulih ekonomi

MPN kecewa kerajaan lambat ambil tindakan pulih ekonomi

MUHYIDDIN Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengakui kecewa dengan kerajaan kerana lambat melaksanakan beberapa cadangan penting membabitkan usaha pemulihan ekonomi negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN sudah mengemukakan 95 saranan untuk dipertimbangkan kerajaan dengan 69 daripadanya membabitkan isu sosio-ekonomi dan 26 berkaitan tadbir urus.

Beliau berkata, daripada 86 saranan yang diluluskan, hanya 16 saranan dilaksanakan sepenuhnya, 30 sedang dalam proses pelaksanaan, manakala 14 masih belum dilaksanakan.

“Saya tidak berniat untuk menuding jari kepada sesiapa. Tujuan saya adalah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini.

“Walaupun terdapat petunjuk positif dari segi kadar pertumbuhan, kadar penggunaan dan kadar pengangguran, namun ia adalah sementara sebelum negara bakal berdepan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia tahun hadapan.

“Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan sekarang, rakyatlah yang akan menanggung sengsara kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan MPN hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tidak timbul soal MPN tidak dipandang kerajaan kerana semua perkara atau cadangan yang diputuskan dalam majlis ini sudah dibawa kepada Jemaah Menteri dan diluluskan (diperakui).

Muhyiddin berkata, apa yang menghairankan apabila cadangan itu tidak dilaksanakan segera sedangkan ia sudah diperakui dan diluluskan.

“Pemulihan negara tidak boleh dengan lulus begitu sahaja sebaliknya apa tindakan susulan yang harus diambil segera oleh kerajaan.

“Ini kerana perakuan itu membabitkan pelaksanaan oleh beberapa kementerian dan berbelas agensi dan jabatan. Justeru kerajaan perlu bersungguh-sungguh dan bertindak segera,” katanya. 

Katanya, tugas MPN hanya bagi nasihat dan nasihat itu bukan biasa-biasa kerana ia akan dikaji, diteliti, pengumpulan data dan dibentangkan sebelum cadangan dan perakuan dibuat.

“Jadi, tolonglah beri perhatian kerana kami sudah buat yang terbaik. Kita sudah berfungsi dan bersidang setiap bulan.

“Ada orang tanya saya, kenapa Tan Sri tak buat (laksana cadangan)? Ini bukan kerja saya. Cadangan itu bukan datang dari saya, ia daripada barisan menteri, pakar ekonomi, pakar sosial, pihak swasta dan wakil pembangkang dalam majlis ini,” katanya.

Jelasnya lagi, sebagai pengerusi MPN, beliau tiada kuasa untuk mengarahkan menteri atau ketua setiausaha kementerian atau ketua pengarah jabatan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah tertentu atau membuat keputusan tertentu bagi mempercepat proses pemulihan negara.

“Kuasa ini terletak di tangan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Justeru, saya berharap Perdana Menteri dan kerajaan memberikan tumpuan utama untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih cepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN