Ketika menguak pintu, Pak Ya nampak perubahan pada muka Rodi. Mukanya pucat. Macam disergah hantu yang baru keluar dari peti ais. Begitu pun, Rodi masih mampu mengukir senyum. Tersengih.
Pak Ya merasa tangan Rodi dingin ketika menyalaminya.
“Terkejut aku, pak. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba muncul depan pintu,” kata Rodi.
“Terkejut atau takut? Ada buat salah?” Sergah Pak Ya separuh bergurau. Separuh menyelidik.
Daripada getar suaranya, Pak Ya rasa Rodi benar-benar terkejut. Pak Ya pula tiba-tiba rasa bersalah. Dia menolak pintu yang tidak berkunci itu tanpa memberi salam. Tapi itulah kebiasaan.
Pondok itu memang miliknya.
Asalnya sebuah pondok menyimpan peralatan kebun sawit. Sekarang sudah diubah suai menjadi tempat tinggal dua pekerja asingnya – Rodi dan Sani.
“Bukan apa, pak,” kata Rodi.
“Sekarang banyak penyamun. Siang-siang pun ada. Orang masuk rumah macam kucing masuk dapur. Jadi, bila bapak tiba-tiba muncul, jantung aku lompat macam ikan keli kena lukah.”
Pak Ya mencebik. Perumpamaan Rodi semacam lucu, tetapi dia mesti tunjuk muka seserius lukah di depan mangsa. Pak Ya masih membendung marah, tetapi tidak tahu kemarahan itu mahu ditujukan kepada siapa. Kalau tersalah marah dia akan mendapat malu. Bertambah rugi.
“Bukan takut sebab buat salah?”
Rodi terus tunduk. “Mohon ampun, pak. Kalau aku ada buat salah. Orang muda banyak salah.”
Rodi berhenti sekejap, kemudian menambah dengan nada bersalah.
“Memang ada satu salah, pak. Aku cangkul tanah depan rumah, tanam ubi. Tak minta izin bapak. Sekarang bapak terpaksa letak motosikal jauh. Jalan kaki pula ke sini.”
Akhirnya, Pak Ya ketawa kecil.
“Yang itu aku tak kisah. Kamu rajin. Rajin kerja, rajin tanam ubi, rajin bela ayam. Orang rajin macam kamu senang duduk di mana-mana.”
Pak Ya menyebarkan pandangannya ke dalam rumah. Tilam lembik masih terdampar dalam kelambu kusam. Tin biskut satu kilogram tersusun di tepi dinding.
Tin biskut itu menarik perhatian Pak Ya.
“Ini…,” katanya perlahan. “Biskut-biskut itu siapa yang beli?” Tanya Pak Ya dengan dibebani rasa curiga. Setahu Pak Ya, Sani dan Rodi tidak pernah beli biskut yang mahal. Kata-kata Pak Ya terhenti. Tidak menuturkan yang terbuku di hatinya. Tidak mahu terus menuduh. Dia datang sebenarnya untuk menyiasat secara diam-diam. Bak diam-diam lukah berumpan.
Sejak kebelakangan ini, banyak aduan sampai ke telinganya.
Aduan daripada Hamdan dan Rashid. Mereka memang menjadi mata dan telinga Pak Ya. Memang Rodi dan Sani baik, tapi perlu diawasi.
“Pak Ya percaya sangat dengan Rodi dan Sani duduk di stor tu,” kata Hamdan suatu hari di warung. Ramai orang di warung yang dengar aduan Hamdan.
Pak Ya angguk perlahan. Kemudian Pak Ya cuma menjawab pendek.
“Nantilah aku siasat.”
Hamdan dan Rashid ketawa mengajuk.
“Nantilah aku siasat! Nantilah aku siasat!”
Pak Ya pura-pura tidak dengar. Dia bukan jenis cepat percaya cerita orang. Fitnah lebih tajam daripada sabit menutuh pelepah sawit. Dia selalu menjengah pondok baja dan racun. Semua ada tersusun. Tak ada pun tanda-tanda dipecah masuk penyamun.
Lagipun dia kenal Hamdan dan Rashid. Kerja kuat tidak seberapa, cerita kuat luar biasa.
Sehari ini, dia tidak nampak batang hidung mereka. Berfoya-foya di bandarlah agaknya, bisik hati Pak Ya.
“Mana Sani?” Tanya Pak Ya apabila melihat persekitaran pondok sunyi.
Rodi ke dapur menyalakan api dapur kayu untuk membuat kopi.
“Ke paya, pak. Tengok lukah. Pagi petang, kalau tak ada kerja di kebun, dia memang ke paya. Semalam dapat dua ekor keli besar. Macam ini,” katanya sambil menunjukkan saiz sebesar pergelangan tangan.
Pak Ya tersenyum.
“Untung kamu. Ikan tak payah beli.”
“Betul, pak. Masak sambal merah, makan dengan ubi rebus. Pendek kata, bapa mentua lalu belakang pun tak nampak.”
Pak Ya ketawa besar. “Bukankah kamu dah makan biskut mahal? Makan ubi lagi ke?” kata Pak Ya di hujung tawanya.
“Biskut itu Hamdan dan Rashid yang bawa. Mereka minum kopi di sini. Kami tak makan, pak. Tak dipelawa,” Rodi menarik kayu api di dapur sebelum mengangkat ceret yang sudah mendidih.
“Makan dan minum di sini? Kamu tak dipelawa?” Hairan sungguh di akal Pak Ya. Pak Ya sedar, orang kampung memang suka Rodi dan Sani. Mereka cepat mesra, cepat belajar loghat tempatan, dan kuat bekerja. Dia akan buat kalau disuruh, kalau tidak dia tidak kisah. Kadang-kadang orang lupa mereka itu orang luar. Hairan juga kalau tidak dipelawa makan biskut.
“Hidup ini macam pasang lukah, pak,” kata Rodi sambil menuang kopi.
“Kalau ada rezeki, dapat ikan. Kalau tak ada, kosong. Tapi lukah mesti pasang lagi.”
Pak Ya mengangguk. Kata-kata Rodi kadang-kadang macam falsafah orang tua. Tapi Pak Ya datang bukan untuk dengar falsafah. Mentang-mentanglah Sani asyik melukah di paya, cerita pun tentang lukah.
Pak Ya berdehem.
“Aku dengar kamu petik buah sawit belum matang.”
Rodi terus menggeleng kuat.
“Tidak, pak! Kita petik yang matang sahaja. Buah kuning. Sani pungut buah biji luruh. Betul-betul matang. Petang Hamdan dan Rashid yang angkut naik lori. Kemudian dia campur sawit tempat lain. Kita tak ikut,” sambil menyorongkan kopi dan sepiring ubi rebus.
“Kalau pokok sawit boleh bercakap, dia jadi saksi kita,” tambahnya bersungguh-sungguh.
Pak Ya memerhati peralatan di para-para. Cop tajam berkilat. Sabit pun berkilat diasah rapi. Dua anyaman lukah buluh buatan tangan tersandar di dinding. Nampaknya kerja dibuat dengan betul, kata hati Pak Ya.
Pak Ya mula ragu terhadap cerita Hamdan dan Rashid. Semakin banyak berat sawit naik ke lori, semakin banyak tuntutan upah. Kilang tolak buah mentah. Berat buah dihantar ke kilang menyusut. Pak Ya rugi berganda. Tuaian akan datang pula merosot. Tiada buah matang. Buah muda yang patut matang sudah dipetik. Nak tegas dengan pekerja, bukan mudah nak cari ganti.
Dia kena bertindak betul-betul ada bukti.
Sebelum pulang, Pak Ya mengingatkan Rodi.
“Hari ini dan esok tak ada kerja kebun. Tak ada petik buah. Aku rewang di rumah Wak Karim. Anak dia kahwin.”
Pak Ya sengaja beri cuti pekerja dua hari. Dia nak tengok, kalau tidak ada kerja, tak ada pendapatan, apa mereka nak buat. Kalau ada kerja, nak kelentong sahaja.
Rodi tersenyum.
“Bagus, pak. Hidup bermasyarakat tolong-menolong,” Rodi agak lega.
“Tak apa. Aku pun ada kerja lain. Aku dah janji nak tolong Jamal baiki dapur rumahnya. Petang ini aku ke bandar beli barang kemas untuk isteri. Agak sibuk sikit. Raya nanti aku balik kampung. Ole-ole untuk isteri, untuk kenangan kerja di sini.”
“Kaya nampaknya.” Pak Ya ketawa. Rodi mengangkat bahu.
“Alhamdulillah. Lumayan, pak. Kerja di sini boleh simpan sikit-sikit. Tahun depan, kalau tak dapat visa, belum tentu dapat ke sini lagi,” suara Rodi agak sayu.
Pak Ya tersentuh sugul. Nak cari pekerja baru di kebun bukan mudah. Tak ada kemahiran memetik buah. Kalau tidak diawasi, ada sahaja kelentongnya.
Petang itu Pak Ya singgah di warung. Di situlah dia terserempak dengan Hamdan dan Rashid.
“Kamu tak rewang di rumah Wak Karim?” Tanya Pak Ya. Hamdan dan Rashid anak tempatan sepatutnya bermasyarakat di kampung.
“Penatlah kerja percuma, Pak Ya,” kata Hamdan.
“Kalau kerja dengan Pak Ya lain sikit. Ada masuk sini,” katanya sambil menunjuk poket.
Pak Ya menggeleng kepala. Budak-budak ini memang pelik. Kerja gotong-royong mereka anggap rugi. Tak masuk duit ke poket.
Kenduri kahwin di rumah Wak Karim berlangsung meriah. Orang kampung datang berpusu-pusu. Ada yang hulur sampul, ada yang hulur senyuman. Pak Ya tak nampak langsung batang hidung Hamdan dan Rashid.
Pak Ya pulang lewat malam dari rumah Wak Karim. Ada jamuan kenduri. Badannya letih. Dia tidur lena.
Awal pagi esoknya, pintu rumah Pak Ya diketuk kuat. Pak Ya membuka pintu. Seorang pegawai polis berdiri di situ. Darah Pak Ya berderau.
“Pak Ya diminta ke balai polis. Kami nak ambil keterangan tentang kejadian samun di rumah Wak Karim malam tadi.”
“Samun?” Pak Ya terkejut.
“Ya. Duit sumbangan kenduri dan barang kemas hilang.”
Pak Ya terkedu. Apa kaitan dengan aku? Aku disiasat? Benaknya gelap buntu seketika.
Pegawai polis menyambung, “Berdasarkan maklumat, kami geledah pondok pekerja Pak Ya pagi tadi.”
Jantung Pak Ya berdegup kuat.
“Kami jumpa wang dan barang kemas dalam tin biskut.”
Pak Ya teringat tin biskut di pondok pagi semalam.
“Kami tahan Rodi. Sani masih dicari.”
Dunia Pak Ya terasa berpusing. Apa-apa hal tentang Rodi dan Sani tanggung jawab Pak Ya. Kalau mereka buat hal, Pak Ya kena masuk lokap.
“Pak Ya tahu di mana Hamdan dan Rashid?” Pegawai polis bertanya lagi.
Pak Ya terdiam lama. Dia tidak tahu.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Dia teringat tin biskut di pondok. Semalam ada dua. Polis kata ada banyak barang kemas di dalam tin itu. Mungkin Rodi beritahu polis, tin itu Hamdan dan Rashid yang punya.
Pak Ya menggaru kepala. Ada sesuatu yang tidak kena, fikirnya.
Di balai polis, Pak Ya memandang Rodi yang duduk dengan tangan bergari. Rodi kelihatan bingung.
“Pak… saya tak tahu apa-apa,” katanya perlahan.
“Tin itu bukan saya punya. Duit dan barang kemas yang saya beli, saya simpan di tempat lain.”
Pak Ya memerhatikan wajah Rodi lama-lama. Dia percaya Rodi. Entah kenapa, nalurinya berkata begitu.
“Hamdan dan Rashid. Mereka selalu datang ke pondok, minum kopi cecah biskut. Mungkin mereka tahu isi di dalam tin biskut,” sambung Rodi.
Rodi dibebaskan. Pak Ya jamin. Sani pula tidak pulang-pulang dari paya. Lukahnya mengena atau tidak, Rodi tidak tahu. Pak Ya hairan Sani seronok sangat memasang lukah.
Petang itu, Sani pula pulang dari paya seolah-olah tidak tahu apa-apa yang berlaku. Dia masih nak bersantai dengan cerita lebih lucu.
“Pak Ya tahu? Lukah saya hilang semalam! Saya cari di hulu tidak ada. Saya cari di hilir tidak ada. Rupa-rupanya sudah pecah diambil penyamun. Penyamun pun mahu ikan keli.”
“Betul, pak. Hidup macam pasang lukah. Kadang-kadang dapat ikan. Kadang-kadang dapat penyamun.”
“Kamu tahu?” Pak Ya memandang tepat ke mata Sani.
“Polis sedang cari kamu. Kamu ada buat salah apa?”
Muka Sani berubah pucat, ditoreh tidak berdarah. Tangannya menggigil memegang lukah yang kosong.
Pak Ya yang mahu menyiasat pekerja yang sering memetik buah muda masih belum mendapat jawapan.-UTUSAN









