fbpx

MCA boleh promosi budaya maaf, tapi bukan buat Najib – PKR

NAJIB TUN RAZAK

PETALING JAYA: MCA boleh mempromosikan budaya saling bermaafan di negara ini, tetapi bukan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikenakan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. (SRC).

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat berkata, promosi budaya bermaafan itu sebaiknya digunakan untuk membantu golongan miskin yang dipenjarakan kerana mencuri untuk meneruskan kehidupan. 

“Jika MCA nak mempromosi idea saling bermaafan, saya cadang parti itu mengajak ahli dan jentera parti turun membantu golongan miskin yang dipenjarakan akibat mencuri makanan demi meneruskan kehidupan seharian disebabkan kegagalan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dalam membela nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wei Kiat berkata demikian bagi mengulas hantaran Twitter Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker yang mempersoal mengapa Najib tidak diberikan sebarang simpati, terutama dalam kalangan orang Melayu dan Islam. 

Lian Ker yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau tidak dapat memahami perasaan kebencian yang ada pada orang politik di negara ini.

Mengulas lanjut, Wei Kiat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata, MCA boleh menggunakan nama agama untuk meraih simpati dan menyokong ‘penyamun’, tetapi tidak perlu mengajak rakyat turut serta sekali. 

“Umum mengetahui, MCA tidak akan tinggalkan BN-UMNO sehingga hari kiamat, tapi saya ingin mengingatkan Lian Ker supaya tidak harus memberi idea atau ajaran songsang kepada generasi muda. 

“Semua agama mengecam golongan yang korupsi dan salah guna kuasa demi kepentingan peribadi dan merupakan ‘dosa besar’ serta mengkhianati amanah rakyat dan negara,” katanya. 

Jelas beliau, kenyataan MCA mempertahan bekas Perdana Menteri itu juga seolah-olah mempunyai persamaan dengan cara yang selama ini digunakan Pas iaitu menggunakan agama bagi kepentingan politik.

“Kita faham PRU semakin hampir, setiap parti politik akan cuba sedaya upaya memikat hati pengundi. 

“Dalam kes ini, jelas MCA telah menyalahgunakan agama bagi menghalalkan korupsi demi membeli hati penyokong tegar Najib dan UMNO,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN