Mampukah Rina Harun tawan Sepang?

(ANALISIS) Mampukah Rina Harun tawan Sepang?

RINA Mohd. Harun (kanan) menyampaikan surat kelulusan kepada penerima bantuan JKM kepada Theanmoli Ramachandran dalam satu programnya di Kampung Lee Chein Cheng, Dengkil, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLEH dikatakan setiap minggu Datuk Seri Rina Harun turun padang ke Sepang. Ada sahaja program melibatkan Kementerian Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masyarakat di bawah pimpinannya di daerah Selangor itu.

Gelagat itu sama ada dikatakan secara kebetulan atau ada udang di sebalik batu. Agaknya ramai penduduk Sepang yang menjadi sasaran kementeriannya yang perlu dibantu.

Namun, ia sudah menjadi rahsia terbuka bahawa Ahli Parlimen Titiwangsa itu sedang mengintai kerusi yang disandang Mohamed Hanipa Maidin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) sejak dua penggal.

Persoalannya, mampukah Rina menawan kerusi ini atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah payung Perikatan Nasional (PN)?

Mengulas situasi itu kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said berkata, Ketua Srikandi Bersatu berkenaan dilihat mahu mencari kerusi selamat dan tidak lagi yakin untuk mempertahankan Parlimen Titiwangsa.

Ini kerana kemenangan beliau pada PRU14 adalah di bawah bendera Pakatan Harapan (PH).

“Kenapa Rina mahu lari kawasan lain? Wakil rakyat jenis ‘touch n go’ ini sukar diterima akar umbi.

“Rina ini sebenarnya bergantung khemah besar. Jika PN mahu bersama PH, maka beliau akan kembali ke Titiwangsa sebab PH sudah ada wakil di Sepang.

“Jika sebaliknya, beliau akan ke Sepang namun agak sukar kerana Rina tidak ada sokongan akar umbi dan hanya mengharapkan undi melalui Pas. Itu pun kalau Pas setuju beliau bertanding di situ,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, Noorazli berkata, peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kerusi ini cerah dan berada pada landasan baik dengan pertambahan pengundi baharu sekitar 51,000 yang kini mencecah 165,000 pengundi berbanding 114,000 pada PRU14.

Peningkatan undi Melayu di Sepang pula hampir 68 peratus dan ia dilihat mampu menyapu bersih tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjung Sepat (PKR), Sungai Pelek (DAP) dan Dengkil (Bersatu).

Kata beliau, peluang itu dinilai melalui gerak kerja dibuat UMNO dan BN yang mengambil ‘tugas’ wakil rakyat yang kurang peduli kebajikan penduduk dan tiada satu pembangunan yang dijanjikan ditunaikan.

“Kebanyakan pengundi sudah mula faham apa sebenarnya dibuat oleh wakil rakyat PH. Mereka mula merindukan sentuhan BN dan UMNO. Berdasarkan pertimbangan politik hari ini kita lihat janji-janji palsu manifesto, pengundi sudah mula boleh membezakan yang mana betul, retorik dan hanya sekadar berjanji,” katanya.

Dalam pada itu, Noorazli berkata, PRU15 kali ini diandaikan berlaku sekurang-kurangnya tiga penjuru selain berkemungkinan gabungan parti politik baharu, Gerakan Tanah Air (GTA) bakal mencuba nasib.

Kemenangan Hanipa kali pertama merampas daripada BN adalah disebabkan pergeseran dalaman menyebabkan BN kalah dan pada penggal kedua pula kerana tsunami politik.

“Hanipa tidak boleh bertahan di situ berdasarkan situasi semasa dan rekod beliau yang tidak nampak sebarang penambahbaikan sepanjang menjadi wakil rakyat.

“Ketika dia jadi menteri pun tidak ada apa-apa yang dibawa untuk Parlimen Sepang. Lagipun beliau kini agak uzur dan bukan orang tempatan pun. Jadi mungkin partinya akan meletakkan calon lain di sini,” katanya.

Menurut beliau, BN akan mengetengahkan muka baharu dalam kalangan orang tempatan dan hampir semuanya calon muda. Nama calon-calon itu sudah diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

BN akan memperjuangkan pembangunan dan permasalahan rakyat di sini terutama isu banjir kilat dan antara kawasan yang berlaku banjir besar pada akhir tahun lalu.

Permasalahan ini sudah berulang kali diajukan kepada wakil rakyat sedia ada, namun tidak ada satu tindakan pun diambil untuk menyelesaikannya.

Isu kedua ialah berhubung pembinaan hospital baharu di Sepang bagi memenuhi permintaan 500,000 penduduk di sini yang perlu ke Putrajaya dan Serdang untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Ini termasuk masalah pencemaran penternakan khinzir di Tanjung Sepat yang masih tidak selesai di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor yang menjanjikan pembinaan ladang moden, namun sehingga hari ini tidak nampak bayangnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN