PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya cubaan bunuh Naib Presiden Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner di negara itu pada lewat malam kelmarin.
Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini, Malaysia turut berdiri teguh menzahirkan solidariti bersama-sama kerajaan dan rakyat Argentina menolak semua bentuk keganasan.
“Kami berharap agar pengganas tersebut akan segera dibawa ke muka pengadilan,” jelas Wisma Putra sebagai mengulas insiden yang menimpa pemimpin politik berusia 69 tahun itu.
Kejadian tidak diduga itu berlaku kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan Khamis (8 pagi waktu Malaysia Jumaat) ketika beliau pulang ke rumahnya setelah habis bertugas di pejabat.
Bagaimanapun, pistol digunakan oleh suspek, Fernando Andres Sabag Montiel, 35, tersekat ketika dia berdepan tokoh wanita itu yang kebetulan dikelilingi ratusan penyokong tegarnya.
Lelaki warga tempatan kelahiran Brazil itu berjaya diberkas polis yang kemudian menemui 100 butir peluru di apartment studio miliknya di zon pinggir ibu kota Buenos Aires, semalam.
Suspek yang bekerja sebagai pemandu perkhidmatan sewa kereta dalam talian itu dipercayai terpengaruh dengan gerakan pengganas antarabangsa dan fahaman politik pelampau keras.
Dia mengacukan senjata api jenis Bersa Lusber 84 yang sudah tidak dikeluarkan lebih 40 tahun lalu malah pistol kecil itu kelazimannya hanya dijual kumpulan samseng di pasaran gelap.
Susulan insiden tersebut, Presiden Argentina, Alberto Fernandez mengisytiharkan cuti umum di seluruh negara sebagai tanda sokongan kepada Kirchner dan mengutuk keganasan awam.
Wanita berkenaan yang pernah menjadi presiden negara itu dari 2007 hingga 2015 ketika ini berdepan tuduhan rasuah di mahkamah yang sabit kesalahan boleh dipenjara 12 tahun.
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan itu manakala para penyokong menyifatkan kes tersebut bermotifkan politik bagi menutup peluang kariernya kembali menerajui balik Argentina.
Dalam pada itu, akhbar tempatan, La Nacion melaporkan, pemimpin tertinggi kerohanian Kristian Katolik, Pope Francis telah pun menelefon Kirchner sendiri bagi memberi sokongan moral.
Pemimpin wanita tersebut dikatakan sering menziarahi kota suci Vatican City dan melakukan kunjungan hormat ke atas paus kudus kelahiran Argentina itu untuk mendapatkan keberkatan. – UTUSAN










