LTAT jalin kerjasama syarikat UAE perkasa industri pertahanan 

LTAT jalin kerjasama syarikat UAE perkasa industri pertahanan 

LTAT menandatangani MoU bersama syarikat konglomerat UAE, EDGE Group disaksikan Hishammuddin Tun Hussein di Abu Dhabi, UAE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha memperkukuh industri pertahanan antara Kerajaan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diteruskan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat konglomerat UAE, EDGE Group.

MoU itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group, Mansour Mohamed Al Mulla ketika lawatan rasmi Kementerian Pertahanan di Abu Dhabi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MoU tersebut membolehkan penerokaan peluang kerjasama lebih erat antara LTAT dengan EDGE Group dalam usaha menyokong pelbagai bentuk keupayaan dan penyelesaian pertahanan.

Katanya, kerjasama EDGE Group dan LTAT adalah bagi mengenal pasti potensi pelaburan bersama dalam bidang industri strategik dan pertahanan di Malaysia.

“Mewakili Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa bangga dan kagum melihat kesungguhan Kerajaan UAE mengembangkan industri pertahanannya ke tahap yang sangat memberangsangkan.

“Hubungan akrab Malaysia-UAE, kerjasama erat peringkat menteri, kementerian dan angkatan tentera akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa lagi industri pertahanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pada hari kedua lawatan rasmi bersama delegasi Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hishammuddin bersama delegasi Malaysia dibawa melawat ke EDGE Group yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.

Beliau turut diberi peluang meninjau Tawazun Industrial Park, Zayed Military City di Abu Dhabi yang juga merupakan lokasi khusus untuk syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa berkaitan pertahanan membangunkan produk-produk mereka.

Katanya, lawatan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk mempelajari pendekatan UAE memacu industri pertahanan mereka, terutama menerusi Tawazun Industrial Park.

“Ia penting dan selari dengan perancangan Kerajaan Malaysia memandangkan ketika ini Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sebagai inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP) sedang giat dirangka,” katanya.

Jelasnya, salah satu teras DIPKN ialah mewujudkan Zon Industri Pertahanan yang berkonsepkan Tawazun Industrial Park iaitu zon perindustrian yang ditubuhkan untuk membantu mengembangkan lagi keupayaan perindustrian UAE, terutama menyediakan pangkalan pembuatan untuk produk dan industri berkaitan pertahanan.

Beliau turut meluangkan masa melawat beberapa syarikat pertahanan tempatan termasuk NIMR, pengeluar kenderaan tentera perisai dan CARACAL, iaitu pengeluar senjata pistol, senapang dan sniper.

“Secara keseluruhannya, lawatan rasmi saya ke UAE amat bermanfaat dan berjaya terutama dalam meningkatkan hubungan pertahanan Malaysia-UAE ke tahap lebih tinggi termasuk dalam konteks industri pertahanan.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada kerajaan UAE terutama Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Kementerian Pertahanan UAE atas layanan yang amat mesra sepanjang delegasi Malaysia berada di Abu Dhabi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN