LHDN agensi tunggal cukai negara

LHDN agensi cukai tunggal, elak ketirisan dan pertindihan

Kerajaan dicadang hanya memberi kuasa kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai pengutip dan pengurus hasil cukai di negara ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu dijadikan agensi tunggal dalam menguruskan hasil cukai negara bagi mengelakkan pertindihan dan ketirisan.

Ini bagi memastikan sistem kutipan cukai negara lebih efisien kerana maklumat semua pembayar cukai dapat diselaraskan.

Selain itu, ketirisan juga dapat dielakkan sekiranya kuasa penuh diberi kepada LHDN dalam menguruskan semua cukai di negara ini.

“Saya kurang setuju apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diberi kuasa untuk menguruskan cukai. Sepatutnya cukup satu badan atau agensi sahaja. Sebagai contoh ada LHDN. Kuasa mereka perlu diperluaskan untuk mengurus semua cukai.

“Sebab apa? Sebab mereka (LHDN) ada maklumat berkaitan. Misalnya kita nak kenakan cukai kepada syarikat, jadi mereka tahu apa yang dijual dan segala macam maklumat. Kita juga boleh tahu sama ada syarikat atau pihak terbabit menipu atau sebaliknya,” kata Penasihat Kanan, Institut Penyelidikan Khazanah, Prof. Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram kepada Mingguan Malaysia.

JOMO KWAME SUNDARAM

JKDM berfungsi sebagai pemungut cukai tidak langsung utama negara antaranya cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Selain itu, kerajaan juga wajar melaksanakan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak enam peratus bagi meningkatkan pendapatan negara.

SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018 selepas pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus.

Pangkalan data perniagaan sedia ada dan perkongsian maklumat berterusan antara JKDM, LHDN dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah diwujudkan sebelum ini bagi mengurus serta mendaftar aktiviti cukai.

Dalam pada itu Jomo berkata, kerajaan juga wajar melaksanakan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak enam peratus bagi meningkatkan pendapatan negara.

“Bagaimanapun, pengecualian terhadap barang-barang tertentu perlu diberikan. Kita patut mengimbangkan apa yang sesuai bagi Malaysia.

“Contoh kalau kita katakan makanan dikecualikan cukai VAT, adakah stik dari New Zealand yang memang untuk orang kaya juga mahu dikecualikan?

“Dalam keadaan sekarang ramai hadapi tekanan akibat pandemik dan kenaikan harga. Kerajaan patut peka dengan keadaan ini dan jangan laksanakan satu kadar cukai untuk semua,” ujarnya.

Sehingga kini terdapat 160 negara di dunia yang melaksanakan cukai VAT dan GST antaranya Bahrain, Oman, Qatar, Afrika Selatan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu, Jomo turut meramalkan, kadar pengangguran meningkat tahun depan berikutan pertumbuhan ekonomi tahun 2023 diramalkan tidak berkembang positif sebagaimana tahun ini.

“Itu sudah tentu berlaku lebih-lebih lagi ada kilang serta perusahaan selepas pandemik tidak pulih sepenuhnya.

“Malah dikatakan ada perusahaan hotel dan pelancongan juga begitu. Jadi bagaimana dengan mereka yang kerja di sana? Dalam jangka masa akan datang tidak ada cara mudah nak pulihkan sektor seumpama ini dan ia sesuatu yang sukar kita rancang,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×