Laporan polis di Bukit Aman, lindungi mangsa gangguan seksual

Laporan polis di Bukit Aman, lindungi identiti mangsa gangguan seksual

EBIT Lew (kiri) bersama peguamnya Ram Singh (kanan) semasa keluar dari Mahkamah Majistret Tenom hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Demi melindungi identiti dan keselamatan diri, mangsa gangguan seksual kes pendakwah terkenal, Ebit Lew membuat laporan polis di Bukit Aman.

Itu penjelasan saksi pendakwaan, Mohd. Fairuz Abu,37, semasa menjawab soalan dikemukakan dalam pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

Mohd. Fairuz berkata, mangsa memberitahu daerah ini kecil dan ramai orang akan tahu apabila dia membuat laporan maka, laporan polis dibuat di Bukit Aman bagi tujuan keselamatan.

Katanya, laporan dibuat di Bukit Aman atas permintaan saksi kerana ada saudara saksi bertugas di Balai Polis Tenom jadi, beliau takut untuk membuat laporan polis di situ.

Jawapan saksi itu mendorong peguam bela, Kamarudin Mohmad Chinki bertanya adakah di balai polis lain di Sabah ada semua keluarga mangsa.

Pihak pembelaan percaya laporan polis di Bukit Aman itu bagi membolehkan mangsa berjumpa dengan saksi untuk bincangkan tentang kandungan laporan yang akan dibuat sebelum mangsa membuat laporan polis.

Pembelaan mengandaikan perkara itu susulan kenyataan Mohd. Fairuz semasa menjawab pertanyaan pendakwaan bahawa saksi ada berjumpa dengan mangsa pada 7 Ogos 2021, iaitu semasa laporan polis dibuat.

Kemudian ketika ditemui selepas perbicaraan hari pertama ditangguhkan pada pukul 4.30 petang, Ebit memberitahu pemberita bahawa walaupun ujian itu berat namun beliau bersyukur perbicaraan kes itu akhirnya berlangsung bulan ini.

“Saya macam tak sabar sebab setahun saya tunggu. Kalau boleh tahun lepas lagi saya nak selesaikan sebab saya bergerak kemana-mana jadi sebutan orang. Gambar-gambar tak baik entah siapa-siapa,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau hanya tenang sahaja dan rasa gembira serta tersenyum sahaja daripada tadi apabila kes berjalan dengan lancar pada hari pertama perbicaraan.

Perbicaraan disambung semula esok pada pukul 9.30 pagi.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah ini antara Mac hingga Jun 2021.

Justeru, beliau didakwa dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dilakukan dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhan dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia. 

Sementara itu, Ebit Lew diwakili Peguam Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN