Hilaian ngeri di puncak gunung

Hilaian ngeri di puncak gunung (Siri 1)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Assalamu­alaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca budiman. Pada keluaran kali ini saya ingin berkongsi cerita dan pengalaman tentang satu kejadian yang tidak mungkin saya lupakan ketika melakukan ekspedisi hiking bersama rakan-rakan pada awal tahun 2018 lalu.

Sebelum bercerita dengan lebih lanjut, saya terlebih dahulu ingin merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam misi pencarian pendaki wanita, Jaslinda

Saludin yang akhirnya ditemui setelah hilang selama 14 hari di dalam hutan.

Memang benar, sesat di dalam hutan belantara bukanlah satu pengalaman menyeronokkan, hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja tahu dan merasai betapa perit dan sukarnya ketika melalui detik itu.

Saya juga tidak terkecuali, pernah melalui situasi sedemikian ketika mana bersama empat rakan sewaktu menjalankan aktiviti hiking di sebuah gunung di utara Perak.

Lokasi tersebut biarlah saya rahsiakan. Cukuplah sekadar saya namakan tempat tersebut sebagai Gunung Terang. Saya tidak mahu mencipta persepsi kurang baik kepada pendaki-pendaki yang berhajat ke sana, lagipun mungkin perkara sebegini hanya berlaku kepada saya dan tidak kepada orang lain.

Begini kisahnya…

Pagi itu saya bersama tiga rakan mula menyusur laluan hutan naik mendaki ke Gunung Terang. Sebelum ini kami memang sudah kerap hiking bersama beberapa kumpulan lain, walaupun masih dikategorikan sebagai amatur, namun sudah banyak juga gunung dan bukit yang kami jelajah dan tawan sehinggakan ada beberapa rakan yang menganggap kami ‘sifu’ dan ingin turut serta mengikut kami.

Hampir satu jam mendaki peluh sudah mula membasahi pakaian. Cuaca di langit kelihatan mendung, kami percepatkan langkah supaya sempat sampai ke puncak. Kami ingin sampai sebelum hari gelap kerana banyak lagi kerja yang ingin dibereskan seperti mencari tapak untuk mendirikan khemah, mencari kayu api dan bermacam-macam lagi.

Setelah sekian lama mendaki, langit yang tadinya cerah tiba-tiba bertukar gelap. Kepulan awan hitam berarak laju di langit, tanda seakan hujan lebat akan turun sebentar lagi.

Saya beritahu rakan-rakan agar tidak teruskan perjalanan kerana berisiko jika mendaki dalam situasi hujan lebat. Bukan sahaja jalan licin dan pergerakan terbatas, malah barangan yang dibawa juga akan basah semuanya.

Kami berempat setuju untuk mendirikan khemah sementara. Kami fikir selepas hujan reda nanti barulah akan teruskan perjalanan. Khemah kecil yang dipasang cukup untuk menampung kami berempat. Hujan di luar semakin lebat mencurah dan suasana pula cukup sejuk.

Kami berbual kosong sambil menunggu hujan reda. Sesekali kami menoleh ke arah langit yang gelap pekat. Nampak seakan-akan hujan tidak akan berhenti.

“Sudah pukul 2 petang ini, tapi gelapnya dah macam 8 malam. Macam mana beb? Kita hendak teruskan perjalanan ke atau bermalam di sini dahulu? Tanya Nizam kepada kami.

Kami diam sambil toleh ke arah luar, benar seperti yang diperkatakan Nizam itu. Cuaca di sekitar amat gelap sekali tambah pula di sekeliling penuh dengan rimbunan pohon-pohon hutan menjadikan suasana sekitar seperti sudah larut malam.

“Macam mana dengan rancangan kita sekarang ini? Kalau semua setuju hendak bermalam di sini kita kena pasang khemahlah,” kata Asri lagi.

Masing-masing saling berpandangan tanpa sepatah kata.

“Kita tengok dulu macam mana. Kalau dalam sejam dua ini hujan masih tidak berhenti, kita bermalam di sinilah nampaknya, esok baru kita sambung perjalanan.
“Sebab kalau kita teruskan perjalanan juga rasanya macam tidak berbaloi, kita sampai nanti pasti sudah lewat, suasana pula dah gelap gelita,” kata Bob memberi cadangan.

Kami semua setuju. Betul juga katanya itu. Jika sampai pada waktu lewat malam dan gelap apa lagi yang nampak di situ? Usahkan pemandangan, silap hari bulan hendak cari tapak dirikan khemah pun tidak jumpa nanti.

Hujan yang tadinya lebat sudah bertukar renyai. Kami ambil keputusan pasang sebuah lagi khemah kerana lebih selesa untuk kami bermalam dan meletakkan barang-barang nanti.

Selesai mengemas barang kami ambil keputusan keluar mencari kayu untuk dibuat unggun api pada waktu malam nanti. Ketika ini cabarannya memang besar kerana bukan mudah untuk mencari kayu atau ranting-ranting pokok yang kering memandangkan baru lepas hujan.

Kami berpecah dan merayau di kawasan berdekatan. Saya turun semula ke laluan sebelumnya kerana rasanya tadi saya terperasan ada sebuah tebing kecil yang sedikit terlindung oleh beberapa batang pokok besar. Mungkin di situ saya boleh temukan pohon-pohon kayu dan ranting kering.

Telahan saya betul. Sebaik sampai nampak ada banyak ranting tersusun cantik seolah-olah seperti ada seseorang yang menyusunnya, malah ranting-ranting tersebut juga seperti sudah diasingkan mengikut saiz, ada yang besar dan ada yang kecil.

Pelik sungguh! Saya garu kepala yang tidak gatal sambil pandang sekeliling. Hati kecil mengatakan pastinya ranting-ranting kayu ini dikumpulkan seseorang, namun siapa dan di manakah orangnya?

Dan kalau ada orang yang mengumpulkannya pula apa tujuannya dan di manakah dia? Tidak mungkin pula Orang Asli kerana perkampungan mereka pula cukup jauh dari sini. Mungkin dalam tiga ke empat kilometer, lagipun ranting kayu ini bukannya daripada kayu yang berharga, cuma ranting biasa sahaja.

Perasaan saya cuak, sama ada mahu ambil atau pun tidak…-UTUSAN

 

Bersambung 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN