SUNGAI PETANI: Polis masih mengesan pemandu kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipercayai terbabit kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen di Kilometer 83.4 PLUS, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemandu kereta itu dipercayai melarikan diri daripada lokasi kejadian dan sehingga kini tidak tampil untuk membuat laporan polis berkaitan kemalangan itu.
Menurut Zaidy, kereta berwarna perak terbabit dengan nombor pendaftaran TAC 6688 itu berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun ketika suspek melaluinya selepas kejadian.
“Kita sedang meneliti dan menyemak nombor pendaftaran kereta untuk mengetahui sama ada pemiliknya sendiri yang memandu atau individu lain menggunakan kenderaan itu semasa kejadian.
“Orang ramai yang ada maklumat berkaitan pemandu dan kenderaan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan,” katanya.
Dalam kejadian 9.23 pagi semalam, pemandu terbabit melanggar bahagian belakang motosikal jenis Kawasaki KLE650 yang ditunggang di lorong kiri oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Depot Tahanan Sementara Sungai Bakap, Muhammad Nizam Shamsudin, 46.
Rempuhan kuat itu menyebabkan Muhamad Nizam hilang kawalan lalu terjatuh di lorong kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala.
Turut cedera dalam kejadian itu ialah Zaili Nizam Muhammad, 43, yang bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen di depot sama yang sedang menunggang sebuah lagi motosikal jenis sama di belakang mangsa.
Zili Nizam mengalami patah kaki kanan selepas motosikalnya merempuh motosikal milik Muhammad Nizam.
Sementara itu, Zaidy berkata, kedua-dua pegawai Imigresen dan suspek terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Gurun ketika kejadian. – UTUSAN