Kenaikan OPR perlahankan pertumbuhan ekonomi

Kenaikan OPR perlahankan pertumbuhan ekonomi

PENGESAHAN Fitch Ratings mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan dan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kali ketiga baru-baru ini dijangka memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan terbaharu OPR kepada 2.25 peratus memberikan tekanan kepada pengguna
dan perniagaan akibat daripada kelemahan kuasa membeli.

Ujarnya, ia kerana kenaikan pembayaran pinjaman bank dan harga barangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peniaga pula selepas mencapai tahap pemulihan atau prestasi hampir seperti 2019, mungkin tidak mahu mengembangkan perniagaan sedia ada dan hanya berstrategi untuk mempertahankan sahaja bahagian pasaran.

“Ini berikutan untuk mengembangkan perniagaan tidak lah ekonomik kerana kos pembiayaan yang tinggi malah menyimpan di bank lebih beruntung dengan kenaikan kadar faedah simpanan dan kurang risikonya jika dibandingkan dengan melabur dalam perniagaan.

“Selain itu, untuk mengembangkan perniagaan seperti runcit, makanan dan minuman pula terdedah kepada kenaikan harga barang mentah yang mendadak. Justeru, ekonomi yang
dijangka pulih sepenuhnya akhir tahun ini akan kembali perlahan pertumbuhannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dijangka pada lima ke enam peratus manakala suku keempat antara satu ke tiga peratus sahaja.

“Pertumbuhan suku keempat dijangka menjadi terkecil antara semua suku tahunan 2022. Aktiviti eksport juga dijangka lebih perlahan berikutan penurunan harga komoditi utama negara
seperti minyak mentah dan minyak kelapa sawit, serta pengurangan permintaan untuk semikonduktor dan sarung tangan getah yang telah berkurangan dari pasaran dunia.

“Kita mengharapkan ekonomi domestik dapat mengekalkan momentum positif walaupun dibayangi kemelesetan ekonomi dunia.

“Oleh itu, Bajet 2023 akan memberikan petunjuk dasar fiskal kerajaan sama ada selari dengan dasar monetari Bank Negara Malaysia yang mengetatkan aliran tunai dengan kenaikan OPR,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Lati pula berpendapat, pertumbuhan ekonomi pada tahun ini boleh melepasi sasaran rasmi jika tidak berlaku gangguan yang signifikan di peringkat global yang boleh menjejaskan eksport negara.

“Kenaikan kadar OPR sepatutnya memastikan kadar inflasitidak akan meningkat dengan lebih tinggi lagi tetapi intervensi yang lebih efektif dan ketara adalah daripada kerajaan persekutuan yang memberi subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan asas melalui kawalan harga,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ia boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi sedikit perlahan kerana boleh mengurangkan aktiviti transaksi barangan dan perkhidmatan.

“Jika jumlah KDNK pada suku ketiga adalah sama dengan suku kedua tahun ini, pertumbuhan KDNK pada suku ketiga akan kekal positif sekitar 9.0 peratus dan jika jumlah KDNK pada suku keempat adalah sama seperti tahun lepas, pertumbuhan KDNK untuk 2022 keseluruhan akan menjadi sekitar 5.5 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN