PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diberi tempoh 14 hari untuk memutuskan rayuan pendaftaran Parti Kemakmuran Negara sebagai parti politik.
Presiden Protem Parti Kemakmuran Negara, Datuk Abdullah Mohamed berkata, perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
“Semalam Yang Arif Hakim telah memutuskan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) iaitu Menteri Dalam Negeri diberi masa 14 hari untuk membuat keputusan sama ada Parti Kemakmuran Negara diluluskan atau tidak.
“Sekiranya diluluskan, Alhamdulillah kami bersyukur Allah dan sekiranya pihak RoS tidak meluluskan maka kami akan failkan semakan kehakiman. Sama-sama kita berdoa agar perjalanan kami dipermudah Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Parti itu pernah memohon RoS untuk mendaftarkan parti itu pada 9 Mac 2021, tetapi permohonan ditolak pada 16 Mac lalu.
Terdahulu, peguam parti itu, Lim Wei Jiet berkata, Parti Kemakmuran Negara berjaya dalam permohonan semakan kehakiman terhadap Hamzah semalam.
Katanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri untuk memutuskan rayuan sebuah parti politik berasaskan veteran supaya didaftarkan secara rasmi.
Menurut Abdullah, pihaknya merasa amat kecewa dengan pihak ROS sehingga terpaksa membawa kes itu dibawa ke mahkamah.
Katanya, sebagai sebuah parti yang berpaksikan latar belakang veteran, beliau tidak mahu dilabel sebagai pendesak kerajaan.
“Kami sentiasa patuh dengan arahan dan sentiasa hormat kepada ketua kami. Setelah rayuan demi rayuan kami tidak di layan dengan baik, maka kita terpaksa membawa kes kelulusan parti kita ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN










