Bahasa Arab susah, tetapi ilmu itu boleh dibawa ke akhirat - Nuha Bahrin - Utusan Malaysia

Bahasa Arab susah, tetapi ilmu itu boleh dibawa ke akhirat – Nuha Bahrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kalangan anak seni, tidak ramai yang memilih untuk mengisi masa lapang dengan mempelajari bahasa asing kerana terikat dengan komitmen kerjaya.

Namun, bagi penyanyi, Nuha Bahrin minat terhadap bahasa Arab bukan sekadar untuk mengisi kekosongan masa, sebaliknya lahir daripada kecintaan terhadap budaya, muzik dan keinginan untuk menambah ilmu.

Bermula dengan hanya mendengar lagu-lagu Arab yang sering dimainkan ibunya sejak kecil, minat tersebut akhirnya berkembang sehingga mendorong penyanyi itu mengikuti kelas khas bagi mendalami bahasa tersebut secara lebih serius.

“Sebenarnya saya betul-betul mula belajar asas bahasa Arab pada hujung tahun lepas dengan sahabat saya yang membesar di Syria dan Mesir.

“Tahun ini barulah saya mula berjinak-jinak untuk bertutur dengan lebih lancar, terutama daripada segi komunikasi. Apa yang saya belajar sekarang lebih kepada komunikasi dalam bahasa Arab sahaja.

“Belum lagi mendalami bahasa itu secara menyeluruh sebab kita tahu bahasa Arab antara bahasa yang paling susah di dunia. Jadi, bagi saya untuk benar-benar mahir memang agak mencabar,” katanya kepada Pancaindera.

Tidak menafikan bahasa Arab mempunyai struktur dan makna yang kompleks, penyanyi berusia 26 tahun itu mengakui proses pembelajarannya mencabar, namun setiap perkataan mempunyai keunikan tersendiri.

“Pada saya, bahasa Arab memang susah. Tapi saya beruntung sebab guru bahasa saya betul-betul menerangkan semuanya secara terperinci kerana kadang-kadang sebutannya sama tetapi maksudnya berbeza. Banyak perkara menarik tentang bahasa Arab sebab tidak bersifat terus terang atau langsung. Selalu ada lapisan makna yang lebih mendalam,” katanya lagi.

Bagi Nuha, nilai sebenar mempelajari bahasa Arab bukan hanya terletak pada kemahiran berkomunikasi, sebaliknya dia menganggap ilmu tersebut boleh dimanfaatkan sepanjang hayat.

“Belajar bahasa itu memang penting lebih-lebih lagi bahasa Arab. Kalau belajar dengan niat mahu menambah ilmu, saya rasa ilmu itu bukan sekadar untuk dunia tetapi ilmu itu boleh dibawa ke akhirat.

“Jadi bagi saya, tidak ada ruginya untuk belajar. Apa sahaja bentuk ilmu, ia akan kekal bersama kita. Sebab itu bagi saya, yang penting adalah keinginan untuk belajar,” tambahnya.

Tambah Nuha, pengalaman ketika melancong ke negara Asia Barat turut menjadi antara faktor yang menguatkan semangatnya untuk menguasai bahasa Arab dengan lebih baik.

“Menghadiri kelas demi mendalam bahasa ini sangat berbaloi, terutamanya kalau kita minat melancong. Salah satu sebab saya belajar bahasa Arab adalah kerana saya teringin melancong ke negara-negara Asia Barat.

“Semasa saya pergi ke Jeddah, orang di sana pandang serong kerana saya tidak memahami bahasa Arab. Mereka bertanya kepada kawan saya kenapa dia boleh bertutur dengan fasih tetapi saya tidak faham perkara yang mudah. Jadi, perkara itu menjadi pembakar semangat untuk saya belajar,” jelasnya.

Nuha bagaimanapun mengakui kelebihan mempelajari bahasa ketiga bukan sahaja penting untuk berkomunikasi, malah boleh meluaskan rangkaian jalinan ke mana sahaja destinasi yang dikunjungi.

“Kalau kita tahu bahasa mereka, lebih mudah berkawan dan membina hubungan. Sama seperti apabila kita bertemu orang luar yang boleh bercakap bahasa Melayu, kita pasti lebih teruja untuk berbual,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN