Penerbitan Buku Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Madani 3.0 terus memberi nafas baharu dalam usaha menyuburkan bidang penulisan dan kesusasteraan tempatan, apabila persatuan berkenaan terus mendapat kepercayaan kerajaan bagi meneruskan usaha tersebut dengan peruntukan RM 1 juta.
Bermakna, penulis tempatan terus diberi peluang untuk menghasilkan karya tempatan supaya bergerak secara prolifik yang menekankan aspek kualiti karya.
Projek berkenaan meneruskan usaha memperkukuh budaya ilmu, pembangunan karya tempatan dan akses rakyat kepada bahan bacaan berkualiti selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Majlis pelancaran projek itu baru-baru ini dihadiri Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarah Projeknya, Mohd. Khair Ngadiron.

Dr. Mohamad Saleeh berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan khususnya Kementerian Kewangan atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sastera, budaya membaca, bahasa Melayu dan industri penerbitan tempatan.
“Sejak diperkenalkan pada 2024, projek ini berjaya menerbitkan lebih 128 judul buku membabitkan lebih 150 penulis tempatan selain menggerakkan pengedaran bahan bacaan ke 2,292 sekolah menengah, 20 universiti awam dan perpustakaan desa di seluruh negara.
“Bagi Fasa Ketiga, PENA membuka peluang kepada penulis Malaysia menghantar manuskrip lengkap berkualiti tinggi dalam pelbagai genre.
“Antaranya adalah novel, cerpen, puisi, drama pentas, buku umum, biografi, memoir, travelog dan buku bergambar kanak-kanak,” katanya
Beliau berkata, manuskrip yang terpilih akan diterbitkan secara profesional dengan cetakan awal sebanyak 1,000 naskhah bagi setiap judul serta ditawarkan bayaran royalti secara pendahuluan.
Kata Mohamad Saleeh lagi, projek tersebut bukan sekadar program penerbitan buku, sebaliknya usaha memperkukuh budaya ilmu, memperkasa bahasa Melayu dan melahirkan lebih banyak karya tempatan berkualiti yang mampu membina pemikiran masyarakat serta memperkaya peradaban negara.
“Manuskrip yang berjaya dipilih akan melalui proses penilaian oleh pakar, editorial, reka bentuk dan penerbitan secara sistematik dalam tempoh enam bulan daripada tarikh penerimaan manuskrip lengkap,” katanya.
Menurut beliau, penghantaran manuskrip dibuka bermula 2 Jun lalu hingga 31 Disember ini menerusi platform digital bukupena.com.my.
Katanya, platform tersebut dibangunkan bagi memperkemas proses penerimaan manuskrip, semakan editorial dan pengurusan penerbitan secara lebih profesional serta mesra penulis.
“Antara syarat utama penghantaran manuskrip adalah karya perlu ditulis dalam bahasa Melayu, merupakan hasil asli penulis, ditaip mengikut format standard penerbitan serta mematuhi Tatabahasa Dewan dan Gaya Dewan Edisi Keempat.
“Manuskrip novel perlu disertakan sinopsis manakala kumpulan cerpen, puisi, drama atau esei perlu mempunyai prakata,” katanya sambil menyatakan harapan lebih ramai penulis, sasterawan, ahli akademik, mahasiswa dan pengkarya tempatan tampil menghantar manuskrip berkualiti tinggi menerusi projek berkenaan.
“Usaha itu dilihat mampu memperkukuh pembangunan persuratan, budaya ilmu dan ekosistem penerbitan negara secara berterusan,” katanya.
Kata beliau lagi, sebagai persatuan yang berpengalaman luas dan diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di
Paris baru-baru ini, PENA konsisten melestarikan sastera dan budaya membaca di Malaysia.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Khair yang juga Timbalan Presiden PENA, projek penerbitan buku itu adalah ‘serampang dua mata’ untuk membuktikan kepada kerajaan bahawa
PENA mampu menghasilkan buku berkualiti dalam
tempoh singkat.
Mengulas mengenai projek tersebut, penerima S.E. A Write Award 2011, SM Zakir berkata, dengan sokongan dana kerajaan, ia mempercepatkan proses penerbitan buku dengan hasil karya berkualiti, sekali gus membantu dalam mengembangkan minda
masyarkat dengan pembacaan meluas.
Seorang lagi penulis tempatan Marsli N.O menyifatkan projek berkenaan wajar diteruskan.
“ a memberikan ruang dan peluang kepada rakan penulis dan lain-lain yang terlibat dalam bidang penerbitan serta berkaitan dengannya untuk menerbitkan karya serta menyerlahkan bakat dan kebolehan mereka secara terhormat,” ujarnya.
Antara genre sastera yang diterima adalah penulis novel mestilah minimum 100 halaman, novel remaja, novel kanak-kanak, antologi cerpen (minimum 10 cerpen), puisi (minimum 50 puisi) buku umum buku bergambar kanak-kanak dan 40 judul buku sastera.
PENA berharap projek tersebut dapat menghasilkan 40 judul buku baharu dengan cetakan 1,000 naskhah setiap judul dengan tempoh enam bulan selepas manuskrip diluluskan manakala royalti akan diberi kepada penulis selepas cetakan 10000 naskah tersebut.
”Menerusi projek projek ini, PENA berharap dapat melahirkan generasi penulis baharu yang
berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Syarat syarat Penerbitan Projek Buku Pena Malaysia Madani 3.0
PENA akan memegang hak cipta karya selama lima tahun, bermakna sepanjang tempoh tersebut , penulis tidak boleh menerbitkan karya tersebut kepada penerbit yang lain.
Jika terdapat permintaan untuk mengadaptasi karya dalam bentuk lain sepanjang tempoh tersebut, penulis perlu mendapatkan kebenaran daripada PENA.
Jika penulis ingin menggunakan apa sahaja berkaitan dengan karya yang telah diterbitkan ke dalam bentuk lain bagi tujuan komersial, penulis perlu mendapatkan kebenaran daripada PENA.-UTUSAN









