KUANTAN: Gara-gara menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi tanpa lesen, seorang wanita yang bertindak sebagai doktor gigi berjaya diberkas anggota peguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), semalam.
Kegiatan wanita berusia awal 20an itu berjaya dibongkar hasil serbuan di sebuah rumah di Kempadang di sini, kira-kira pukul 9 malam.
Pengarah JKNP, Datuk Dr. Noor Azimi Yunus berkata, sepasukan pegawai dan kakitangan dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta dan Unit Penguatkuasaan Pergigian negeri membuat serbuan hasil risikan dan aduan orang awam.
Menurutnya, ketika serbuan, suspek sedang melakukan rawatan pemasangan pendakap gigi kepada seorang pelanggannya.
“Siasatan awal mendapati, suspek menawarkan perkhidmatan itu sejak 2020 dan mengiklankan perkhidmatannya melalui WhatsApp dan laman sosial Instagram.
“Berdasarkan maklumat awal, harga bagi khidmat pemasangan pendakap gigi yang ditawarkan antara RM100 hingga RM200 dan turut menawarkan rawatan pemutihan gigi.
“Pasukan serbuan turut menemukan dan merampas peralatan pergigian yang disyaki digunakan dalam menjalankan rawatan pergigian secara haram itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr. Azimi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) atas kesalahan menyediakan klinik pergigian tidak berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 (Akta 804).
“Jika didapati bersalah, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan pergigian atau perubatan di klinik berdaftar sama ada kerajaan atau swasta. Semakan boleh dibuat melalui www.dpims.moh.gov.my dan www.medicalprac.moh.gov.my untuk memastikan premis atau klinik itu mempunyai lesen bagi melakukan rawatan,” katanya. – UTUSAN