PETALING JAYA: Pendakwaan jenayah fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya terhadap sebarang laporan pemberitaan kerana tindakan itu seolah-olah menyekat kebebasan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sekiranya pihak terlibat tidak berpuas hati dengan corak pemberitaan itu, mereka boleh memberikan penjelasan kepada media terlibat.
Katanya, langkah tersebut dilihat lebih sesuai berbanding membawa kes berkenaan ke mahkamah sekali gus menunjukkan tiada kebebasan bersuara dan media di negara ini.
“Tidak dinafikan kita ada undang-undang untuk mengawal fitnah, tetapi bukan untuk sewenang-wenangnya. Namun jika ada pihak tidak puas hati. mereka boleh memanggil wartawan atau berkenaan bagi memberikan penjelasan dan meminta mereka membuat permohonan maaf.
“Ini adalah lebih baik dan pihak berkenaan boleh menjelaskan perkara sebenar manakala media terlibat boleh membuat pembetulan dan mohon maaf jika ada kesilapan. Perlu ada ruang di negara ini untuk membuat laporan tanpa sekatan tertentu,” katanya.
Semalam seorang pengarang sambilan sebuah portal berita didakwa di dua Mahkamah Majistret Petaling Jaya melibatkan dua pertuduhan memfitnah menerusi penyiaran dua artikel berkaitan seorang individu dan empat buah syarikat, dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Azam Mohd Aris, 61, yang merupakan bekas ketua pengarang portal The Edge itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, artikel itu telah disiarkan di mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa tuduhan (artikel) tersebut akan merosakkan reputasi individu itu dan syarikat-syarikat tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri menjelaskan, jenayah fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan digunakan sekiranya perbuatan tersebut melibatkan agensi awam manakala saman sivil melibatkan selain entiti berkenaan.
Jelas beliau, Peguam Negara boleh meneruskan pendakwaan jenayah fitnah jika melibat kementerian, agensi kerajaan dan pegawai awam manakala saman sivil boleh dikemukakan plaintif terlibat.
“Misalnya jika ada elemen fitnah membabitkan agensi kerajaan, maka seksyen berkenaan digunakan untuk mendakwa pelaku ke mahkamah. Selain daripada agensi kerajaan, maka saman sivil digunakan untuk membawa kes fitnah ke mahkamah.
“Dalam hal ini, Peguam Negara mempunyai prerogatif untuk memulakan atau menghentikan sebarang prosiding setelah menerima kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Peguam Negara memberi penjelasan mengapa laporan kes yang dikemukakan individu dan entiti komersial boleh dihadapkan ke mahkamah atas pendakwaan jenayah fitnah.
Katanya, meskipun Peguam Negara mempunyai hak untuk memulakan pendakwaan namun turut mempunyai kuasa untuk menghentikan prosiding itu.
“Beliau bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang keputusannya menggunakan fitnah jenayah di mahkamah dengan wang pembayar cukai sedangkan ia melibatkan reputasi tokoh korporat dan syarikat senaraian awam,” katanya.
Selain itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyifatkan pendakwaan ke atas bekas editor tersebut dilihat sebagai ancaman terhadap kebebasan media atau tindak balas kepada laporan yang diterbitkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menegaskan, kerajaan sentiasa memberikan kebebasan kepada media dalam menyampaikan maklumat selagi ia tidak mengelirukan rakyat apabila dapat dilihat apabila tiada mana-mana media dikenakan tindakan atau digantung lesen penerbitan.
Malah ketika Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022, Ismail Sabri berkata, pihaknya tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita, yang ada kalanya dijadikan panduan oleh pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti menyalurkan bantuan, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. – UTUSAN










