KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam keadaan banjir adalah sebagai ‘metafora’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kenyataan itu adalah bagi menjelaskan kesiapsiagaan UMNO menghadapi sebarang kemungkinan setelah tewas pada PRU ke-14 lalu.
Malah jelasnya, UMNO adalah parti lama yang sudah pasti memikirkan perihal kebajikan rakyat, sekali gus menegaskan yang UMNO bukan tidak berakal sehingga perlu mengadakan PRU dalam keadaan meredah banjir.
“Kenyataan Presiden itu adalah metafora, ia adalah kiasan yang nak menggambarkan yang kita benar-benar sudah bersedia menghadapi PRU.
“Kita bukanlah pemimpin yang tidak boleh fikir sehinggakan sanggup adakan PRU pada waktu banjir. Bukan seperti membujur lalu melintang patah, itu bukan kita. Apa yang kita nak sampaikan adalah kita sudah bersiap sedia dari segi perancangan untuk masuk ke gelanggang PRU kali ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Ahmad Zahid berkata, BN sedia meredah banjir mahupun hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini. Ini bermakna, BN sudah bersedia menghadapi peratusan undi yang terlalu rendah jika PRU15 di tengah-tengah banjir.
Susulan itu, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis berkata, pimpinan UMNO perlu lebih kuat mendesak dan mengasak perdana menteri yang sehingga ke saat ini masih kekal dengan pendirian tidak mengumumkan pilihan raya tahun ini.
Mengulas lanjut, Sharkar berkata, desakan PRU awal ini sudah pasti tujuannya adalah mengembalikan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan.
“Belum tentu kita buat PRU ini, ekonomi tahun depan akan stabil, tidak. Dalam keadaan sekarang, ekonomi dunia sedang bergolak, bukan kita sahaja. Jadi kita desak PRU awal ini adalah bagi rakyat memilih semula siapa kerajaan mereka.
“Selepas PRU14 Pakatan Harapan menang pada ketika itu, mereka belum mampu mengubati kelukaan hati rakyat, apa jadi nasib rakyat, penjawat awam, bangsa Melayu ketika itu? Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Cuma Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kita lihat mampu menurunkan suhu politik yang tegang. Kalau tegang antara beliau dengan Presiden, itu strategi kita. biar orang nampak kita berpecah, tapi di dalam kita bersepakat, itu penting,” katanya. – UTUSAN











