SHAH ALAM: Orang ramai diseru tidak membuat sebarang spekulasi mengenai identiti selebriti lelaki yang terlibat dengan jenayah seksual sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada figura agama yang lain.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, sebagai pihak yang mengetuai institusi agama, beliau ingin berlaku adil terhadap pihak terbabit dan enggan menyebut nama sesiapa walaupun mempunyai maklumat.
“Saya telah menerima laporan lengkap kes amang seksual tersebut dan ia tidak melibatkan pelajar tahfiz sekolah kita (di bawah pentadbiran JAIS). Kes tersebut adalah kes polis dan biarlah polis siasat. Kes tersebut tidak melibatkan pelajar tahfiz swasta di bawah kawalan JAIS,” katanya ditemui dalam Majlis Perasmian Masjid Ar Raudhah Seksyen U10, Puncak Perdana.
Dalam majlis tersebut Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan masjid berkenaan.
JAIS sebelum ini dilaporkan sedia maklum berhubung isu selebriti lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur.
Menurut Mohd.Shahzihan, walau bagaimanapun beliau sedang menunggu laporan lengkap berhubung kes yang membabitkan pelajar tahfiz itu.
Jelasnya, beliau difahamkan kes tersebut adalah kes lama dan sebaiknya semua pihak menunggu siasatan lengkap pihak polis.
“Sehubungan dengan itu saya berharap spekulasi berhubung identiti penceramah tersebut dihentikan kerana ia melibatkan maruah. Jangan kerana kes melibatkan orang agama menyebabkan orang agama lain diserang. Sehingga rakan-rakan saya yang menjadi ustazah yang elok-elok jadi guru besar orang akan ‘frame’ mereka juga begitu dan mereka menjadi mangsa keadaan,” tegasnya.
Beliau menambah, negara mempunyai sistem perundangan berasaskan bukti kukuh dan bukannya dengar cakap semata-mata maka biarlah mahkamah menentukan seseorang yang didakwa bersalah atau sebaliknya. – UTUSAN










