ISES 2022 cipta sinergi realisasi aspirasi negara neutral karbon

ISES 2022 cipta sinergi realisasi aspirasi negara neutral karbon

ISMAIL Sabri Yaakob melakukan gimik perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa Kelima (ISES)2022 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa Kelima atau 5th International Sustainable Energy Summit (ISES) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menjadi platform kepada penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari berbincang dan memahami strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.

ISES Kelima dengan tema ‘Memperkasakan Peralihan Tenaga’ atau ‘Empowering Energy Transition’ telah mencipta sinergi yang diperlukan oleh pemain industri dan pemegang taruh sektor tenaga lestari untuk menjalin kerjasama ke arah merealisasikan aspirasi negara menjadi neutral karbon menjelang 2050.

Ia dihoskan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, ISES dianjurkan tepat pada masanya ketika masyarakat global rancak membincangkan langkah-langkah pengurangan jejak karbon.

“Persidangan ISES ini akan membuka peluang kepada para penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari, untuk berbincang dan memahami strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.

“Saya berharap dasar, amalan dan inisiatif terbaik yang sedia dipraktikkan dan terbukti berjaya, boleh diaplikasi dan disesuaikan untuk dilaksanakan, agar Malaysia juga boleh menyumbang dalam menangani isu perubahan iklim di peringkat global,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak berkepentingan untuk memanfaatkan kelebihan daya saing yang dimiliki oleh Malaysia untuk merangsang perkembangan dan pembangunan industri tenaga lestari bagi menyokong matlamat negara neutral karbon.

Ismail Sabri menegaskan selari dengan trend semasa dunia yang agresif dalam mengurangkan jejak karbon selain peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik hijau, maka Malaysia perlu menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada agar ia selaras dengan keperluan dan permintaan semasa untuk menarik pelaburan hijau yang bernilai tinggi ke negara ini.

PELAJAR sekolah melawati tapak reruai Energy Efficient and Low Carbon pavilion yang dikendalikan oleh SEDA Malaysia sewaktu ISES 2022.

Dalam ucapannya Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa program serta pembaharuan dalam sistem pembekalan elektrik negara untuk menyokong usaha peralihan tenaga.

Antaranya kelulusan peruntukan dan pengagihan semula kuota TBB sebanyak 1,200 MW bagi sumber solar, melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tioman bagi membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC).

Perdana Menteri juga mahukan supaya kerangka perundangan untuk kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) ditetapkan termasuk penyediaan Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan akan dikuatkuasa pada suku tahun keempat tahun 2022.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut hadir sewaktu majlis perasmian ISES 2022. Dalam ucapan pembukaannya, Takiyuddin Hassan menegaskan kepentingan usaha pemain industri bekalan elektrik dalam menyokong hasrat Kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca serta merealisasikan aspirasi negara neutral karbon.

Ujar beliau, komitmen itu memerlukan gandingan usaha semua pemegang taruh dalam bidang tenaga lestari dan berharap agar persidangan ISES kali ini akan membuka ruang perbincangan serta mewujudkan jalinan hubungan baharu bagi menyokong usaha untuk memperkasakan agenda peralihan tenaga di negara kita.

Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Francesco La Camera dalam ucaptamanya berkongsi mengenai prospek dan pilihan laluan peralihan tenaga yang boleh dipelopori Malaysia.

Menurut La Camera, Malaysia juga boleh mempelopori usaha meningkatkan penetrasi kenderaan serta pembangunan infrastruktur dan rantaian pembekalan EV perlu dipercepatkan, selain penghasilan hidrogen hijau.

Katanya, pelaburan yang diunjurkan bagi menjayakan usaha peralihan tenaga sehingga 2050 adalah berjumlah AS$378 bilion dengan sebahagian besar pelaburan berjumlah AS$183 bilion diperlukan untuk usaha menaik taraf dan meningkatkan keanjalan sistem grid pembekalan elektrik.

Penganjuran ISES pada kali ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 5,500 delegasi dan pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk kira-kira 1,000 pelajar sekolah. 70 penceramah juga telah di jemput bagi membincangkan topik-topik berkenaan tema Memperkasakan Peralihan Tenaga dalam 4 sesi plenari dan 10 sesi bengkel perbincangan mendalam sewaktu dua hari persidangan tersebut berlangsung.

Antara panel penceramah ialah Ketua Ahli Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi, Pengerusi Bursa Malaysia Berhad Tan Sri Abdul Wahid Omar, dan Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Michalis Rokas.

ISES 2022 turut membabitkan penyertaan 33 pempamer, sembilan penganjur persidangan bersama dan 33 rakan strategik.

Antara rakan strategik ISES 2022 termasuk TNB, Petronas, Cenergi Sea Berhad. Concord Renewable Energy Sdn. Bhd., OHP Ventures, MBSB Bank, Sarawak Energy Berhad., Nur Power Sdn. Bhd., Jentayu Sustainables Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN