'Ini tanggungjawab, amanah kami jaga anak terlantar'

‘Ini tanggungjawab, amanah kami jaga anak terlantar’

KAMARUDDIN Kassim (kiri) dan Zuraidah Ariffin bersama Mohd. Faizal yang terlantar akibat kemalangan lebih lima bulan lalu ketika ditemui di Kampung Padang Lebar, Sungai Layang, Rembau, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sepasang suami isteri tabah menjaga anak sulung mereka yang terlantar lebih lima bulan setelah terbabit dengan kemalangan jalan raya di Seremban, dekat sini pada 25 Mac lalu.

Kamaruddin Kassim, 56, berkata, anaknya, Mohd. Faizal, 26, kini memerlukan penjagaan rapi termasuk memakai lampin pakai buang dan perlu berulang-alik ke klinik kesihatan berdekatan bagi membersihkan luka akibat kemalangan berkenaan.

Katanya, dengan gaji yang kecil sebagai pekerja pembersihan, ia digunakan untuk membeli kelengkapan buat anaknya yang hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi orang kurang upaya (OKU) mental.

“Gaji minimum RM1,500 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, melegakan saya sedikit, membantu saya menampung perbelanjaan kami sekeluarga termasuk seorang anak berusia 16 tahun yang masih belajar.

“Walaupun sedih melihat keadaan Mohd. Faizal, saya dan isteri harus tabah meneruskan tanggungjawab serta amanah ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Lebar, Sungai Layang, di sini, baru-baru ini.

Isterinya, Zuraidah Ariffin, 55, pula berkata, anaknya itu sebelum ini mendapat bantuan JKM bagi OKU mental kerana selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Faizal terbabit kemalangan motosikal dan kepala anaknya terhantuk.

Menurutnya, sejak dari itu, anaknya bergantung kepada ubat-ubatan bagi mengawal sakit tersebut serta tidak pernah tetap bekerja menyebabkan tiada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dibuat.

“Jadi segala bayaran seperti memasukkan besi bernilai ribuan ringgit akibat kemalangan dibayar menggunakan duit kami sendiri.

“Mujurlah, sebelum kejadian kemalangan itu, saya sudah dapat mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang digunakan menjelaskan bayaran hospital.

“Saya kini memohon bantuan Baitulmal bagi perubatan serta kelengkapan lampin pakai buang anak,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 155050463821 atas nama Kamaruddin Kassim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN