Hujan lebat berterusan diramal hingga hujung tahun

Hujan lebat berterusan diramal hingga hujung tahun

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan dan ribut petir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan hujan lebat berterusan berlaku dalam tempoh beberapa hari di kebanyakan tempat di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, perkara itu boleh berlaku sekiranya berlaku fenomena luruan monsun terutama yang kuat bersekali dengan kewujudan sistem cuaca tekanan rendah.

Bagaimanapun, menurut beliau, sukar untuk meramalkan sama ada fenomena itu boleh membawa kepada musibah banjir besar atau sebaliknya.

“Secara amnya semasa Monsun Timur Laut, selalunya cuaca pada sebelah pagi adalah hujan di kawasan pantai timur semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah. Manakala pada sebelah petang pula, ribut petir atau hujan lebat di kawasan pantai barat dan pedalaman semenanjung, pedalaman Sarawak serta barat Sabah.

“Jika berlaku luruan monsun, hujan lebat berterusan akan berlaku dalam tempoh beberapa hari terutamanya di kawasan pantai timur semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah. Namun, sekiranya berlaku luruan monsun yang kuat bersekali dengan kewujudan sistem cuaca tekanan rendah, hujan berterusan berpotensi berlaku dalam kawasan yang lebih luas sehingga ke negeri-negeri pantai barat semenanjung.

“Taburan hujan pula adalah berbeza mengikut kawasan, namun taburan hujan di kebanyakan kawasan dijangka pada paras purata sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Merujuk laman web Met Malaysia, cuaca di negara ini dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir bulan Mei hingga  September, dan Monsun Timur Laut dari bulan November hingga Mac.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi bagaimanapun berkata, terlalu awal untuk meramal akan berlaku hujan yang sangat lebat yang boleh mengakibatkan banjir besar.

“Lazimnya Disember adalah tempoh di mana luruan monsun menjadi aktif, potensi untuk berlaku hujan lebat berterusan adalah tinggi ketika itu terutama di kawasan pantai timur semenanjung.

“Bagaimanapun, kejadian hujan lebat berterusan hanya dapat diramal dalam tempoh satu hingga tiga hari sebelum ia berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×