ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menasihatkan orang ramai supaya berhenti ‘berkempen’ memburukkan Langkawi dengan pelbagai persepsi buruk termasuk dilabel sebagai pulau kayangan.
Kata beliau, berbanding dengan Thailand, kos melancong di Langkawi jauh lebih murah memandangkan kejatuhan mata wang ringgit ketika ini.
“Itu adalah kempen negatif untuk Langkawi, saya harap ia dapat dihentikan. Biasa sahaja (kos), tak mahal di Langkawi.
“Thailand lagi mahal sebab duit dia lagi besar sekarang, lebih baik pergi Langkawi,” katanya selepas Sesi Dialog Bajet 2023 Kerajaan Negeri Kedah di sini hari ini.
Akhbar ini melaporkan, keghairahan rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di Thailand boleh menjejaskan industri pelancongan negara termasuk di Langkawi apabila kedatangan ke pulau peranginan itu semakin menyusut.
Mengulas lanjut, kata Muhammad Sanusi, pihaknya percaya trend rakyat Malaysia ke Thailand ketika ini adalah sementara dan tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negeri ini termasuk Langkawi untuk jangka masa panjang.
“Saya rasa itu biasa sahaja pelancong nak pergi Thailand, kita tak boleh nak halang mungkin Thailand buat sesuatu sebagai tarikan. Jadi kita kena tingkatkan tarikan di tempat kita.
“Setakat ini Langkawi mencatatkan kemasukan pelancong menggalakkan dan akan capai sasaran kita menjelang Disember ini,” katanya.
Beliau pada masa sama menjelaskan, selain Langkawi, Kedah juga mempunyai pelbagai lokasi pelancongan yang menarik dan sesuai dilawati.
“Kita harapkan kerajaan ambil tindakan bekerjasama dengan ejen pelancongan untuk tingkatkan promosi di tanah besar. Kita ada Gunung Keriang yang disamakan dengan Australia. Australia depa (mereka) mau pi (pergi), Gunung Keriang tak mau mai (datang).
“Gunung Jerai pun ada macam-macam, sapa (sudah) naik mesti nak naik lagi,” katanya.- UTUSAN










