GEG langgar hak kebebasan dalam Perlembagaan Persekutuan

GEG langgar hak kebebasan dalam Perlembagaan Persekutuan – Ahli Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu bersedia berdepan dengan isu berkaitan hak asasi rakyat Malaysia sekiranya Rang undang-undang (RUU) berkaitan Generasi Penamat (GEG) diteruskan.

Ini berikutan banyak pihak yang mengutarakan isu berkaitan hak kebebasan memilih yang diberikan kepada rakyat seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan-kumpulan hak asasi juga telah mengutarakan mengenai aspek hak asasi rakyat yang dilihat tidak dititikberatkan di dalam RUU tersebut.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, apa yang paling penting dan wajar dilihat pada masa kini adalah bagaimana RUU ini diguna pakai kelak.

“Kita perlu melihat bagaimana nak bawa RUU ini tanpa ada perpisahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Buat masa ini kita kena melihat perubahan yang perlu dibuat. Ada banyak penulisan yang mengaitkan ia dengan hak kebebasan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

 

XAVIER JAYAKUMAR

RUU GEG dibentangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membabitkan golongan individu yang lahir selepas 1 Jan 2007 dan dijangka berkuat kuasa 2025 jika diluluskan.

Berdasarkan RUU tersebut, individu lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM500 jika disabit kesalahan.

Selain denda dalam bentuk wang, RUU ini akan menambah khidmat komuniti sebagai pilihan denda.

Selain itu, RUU ini turut menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Malaysia dan New Zealand adalah dua negara pertama yang membawa RUU GEG ke Parlimen masing-masing setakat ini.

Terdahulu, memetik laporan media tempatan, bekas Ketua Hakim Negara,  Tun Zaki Tun Azmi berkata, RUU berkaitan GEG berkemungkinan melanggar Perlembagaan Persekutuan, diskriminasi dan menjejaskan kebebasan awam.

Dalam kenyataannya, Tun Zaki memetik Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan peribadi serta Perkara 8 mengenai hak kesaksamaan dan perlindungan sama rata.

Beliau berpendapat GEG  yang bertujuan melarang penjualan dan penggunaan produk tembakau termasuk vape kepada sesiapa yang lahir dari 1 Januari 2007 boleh dikatakan diskriminasi dan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan bahawa Perkara 8 harus ditafsirkan sebagai undang-undang yang perlu ‘dilaksanakan secara adil ke atas semua orang dalam keadaan yang sama’, dan bukannya ‘semua orang mesti dilayan sama’.

Oleh itu, wajar dipersoalkan sama ada menetapkan had umur larangan kekal merokok adalah diskriminasi dan bertentangan dengan intipati Perkara 8,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, RUU tersebut disifatkan mengetepikan hak asasi manusia dan melanggar kebebasan memilih kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2007.

Malah katanya, RUU berkenaan dilihat melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak kesamarataan.

“Kita perlu faham rakyat punya pilihan dan kesamarataan yang terpakai kepada semua sama ada generasi yang lahir sebelum atau selepas 1 Januari 2007. Masalahnya sekarang modul didikan tentang merokok pun belum sempurna dan sekarang mahu laksanakan pula undang-undang sedemikian.

“Lebih baik tutup sekali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan hak asasi manusia kalau sudah tiada kebebasan untuk membuat pilihan, ” ujarnya.

Justeru, tambah King Sing, RUU itu perlu dilihat secara serius dan tidak boleh berpatah semula seandainya dilaksanakan nanti.

“Kita perlu melihat perkara ini secara serius. Jangan buat kesilapan bodoh. Nanti apabila sudah dilaksanakan dan ada membuat kesilapan, kita berpatah ke belakang semula.

“Ini tidak bagus. Kita sepatutnya belajar daripada kesilapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia bakal berdepan kerugian lebih besar membabitkan isu terbabit terutama dalam aspek pendapatan negara, penguatkuasaan serta kesihatan.

Justeru katanya, adalah wajar kerajaan mencari penyelesaian lebih baik dan komprehensif dengan memberi tumpuan kepada didikan awal terlebih dahulu sebelum beralih ke arah yang lebih tegas.

“Sepatutnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan wujudkan satu subjek khas apakah risiko merokok, bagaimana ia memberi kesan kepada perokok dan perkara yang menyentuh aspek tersebut.

“Segala penguatkuasaan perlu ditanamkan dengan aspek didikan terlebih dahulu. Ini tidak. Didikan pun tiada, kaji selidik pun tiada terus buat satu undang-undang yang keras.Adakah kerajaan mahu tunjukkan mereka ini betul-betul berkuasa? Berapa banyak negara yang buat undang-undang sebegini?” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya