Firma guaman, setiausaha syarikat antara ‘lubuk’ aktiviti pengubahan wang haram

Firma guaman, setiausaha syarikat antara ‘lubuk’ aktiviti pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Firma setiausaha syarikat, guaman dan pengedar logam berharga serta batu dikenal pasti antara sektor yang terdedah kepada aktiviti pengubahan wang haram.

Kajian itu diperoleh berdasarkan Penilaian Risiko Nasional (NRA) 2020 oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dalam melaksanakan penilaian sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, dalam hal berkenaan, pegawai pematuhan dari sektor terlibat harus lebih peka dan berhati-hati terhadap risiko perniagaan mereka yang boleh disalahgunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram. 

Kata beliau, jika tidak dikawal, aktiviti itu membolehkan penjenayah mendapat manfaat hasil daripada jenayah mereka dan secara tidak langsung semakin berkembang.

“Semua pihak berkepentingan, tidak kira dari sektor awam mahupun swasta perlu bertanggungjawab dan sedar bahawa pengesanan, pencegahan serta penguatkuasaan yang berkesan adalah aspek penting dalam usaha keseluruhan untuk memerangi jenayah rasuah.

“Aktiviti pengubahan wang haram ini akan memberi kesan yang sangat serius kepada integriti sistem kewangan,” katanya dalam ucaptama ketika merasmikan sesi Dialog Mengkaji Hubungan Antara Rasuah dan Jenayah Berisiko Tinggi yang dikenal pasti dalam NRA di Lanai Kijang ,di sini hari ini.

Sesi dialog itu julung kali dianjurkan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM bersama Bank Negara Malaysia (BNM).

Yang hadir sama Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar. 

Ahmad Khusairi berkata, dalam laporan NRA 2020 juga mengenal pasti lima jenayah utama yang menyumbang kepada ancaman aktiviti pengubahan wang haram kepada negara ini.

Jelas beliau, antara jenayah berkenaan ialah penipuan termasuk penipuan dalam skim pelaburan haram, pengedaran dadah terlarang, rasuah,  penyeludupan termasuk pengelakkan kastam dan duti eksais dan jenayah terancang.

 “Selain itu, terdapat juga peningkatan risiko untuk dua jenayah iaitu melibatkan jenayah alam sekitar akibat pemerdagangan hidupan liar, perlombongan haram serta pengimportan sisa plastik haram.

“Dalam pada itu, terdapat juga jenayah peras ugut disebabkan peningkatan risiko yang berpunca daripada serangan siber termasuk serangan perisian tebusan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN