KOTA TINGGI: Seorang pemuda tidak menyangka panggilan telefon tidak berjawab yang dibuat terhadap ahli keluarganya adalah disebabkan mereka telah terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 71, Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat sini petang semalam.
Mohd. Izat Kamilin, 22, berkata, ketika kejadian, bapanya, Kamilin Alias, 56, bersama ibu, Rubeta Mohd, 51, dan adik perempuannya, Nur Isyirah Syakirah, 14, sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Mersing.
“Sepatutnya saya yang pandu kenderaan itu, kerana pada awalnya memang saya akan turut serta ke majlis perkahwinan tersebut. Tetapi saya tidak dapat ikut disebabkan kerja.
“Apabila pulang dari kerja kira-kira pukul 6 petang semalam, saya dan adik beradik lain mula risau kerana mereka bertiga masih belum pulang, jadi saya cuba hubungi mereka berkali-kali namun panggilan tidak dijawab.
“Panggilan terakhir yang dibuat kepada telefon bimbit adik diangkat anggota polis yang memaklumkan ketiga-tiga mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika dihubungi pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Izat, kali terakhir dia bertemu bapa, ibu dan adik bongsunya itu sebelum mereka bertolak ke Mersing secara konvoi bersama ibu saudaranya.
“Ibu saudara saya ada hubungi telefon bimbit ibu pada pukul 4 petang selepas kenderaan mereka terpisah di jalan raya, ketika itu ibu beritahu mereka bertiga singgah sebentar di Felcra Sungai Ara, dekat sini ekoran cuaca ketika itu hujan lebat,” katanya.
Mohd. Izat turut memberitahu jenazah ibu dan adiknya dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam, di sini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, wanita berusia 51 tahun dan remaja perempuan berusia 14 tahun tersebut maut disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.
“Sementara itu, lelaki berusia 56 tahun yang memandu kenderaan tersebut cedera selepas Proton Persona dinaiki mereka bertiga hilang kawalan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain,” katanya.










