KOTA BHARU: Hubungan salah seorang suspek lelaki dengan gadis yang dibunuh dengan 61 tikaman di Kampung Simah, Ketereh di sini semalam, adalah sebagai rakan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif kejadian sehingga mangsa ditikam dan ditinggalkan di atas jalan raya sebelum ditemukan penduduk.
“Penahanan empat suspek termasuk dua warga emas itu dijalankan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu. Jangan buat sebarang spekulasi mengenai motif kes ini.
“Mangsa hanya berkawan dengan salah seorang suspek yang berusia 19 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, empat individu termasuk sepasang suami isteri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat gadis tersebut.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dua remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan manakala pasangan suami isteri berusia antara 60 tahun dan 66 tahun itu direman tiga hari. – UTUSAN









