PETALING JAYA: Ibu kepada dua beradik yang didera ibu dan bapa saudara di sebuah kondominium di Taman Cahaya kelmarin akan menjaga semula anaknya.
Wanita dikenali sebagai Syafiqah itu berkata, dakwaan mengatakan dia tidak ingin menjaga mereka adalah tidak benar.
Kata beliau, dia amat merindukan anak-anaknya dan tidak sabar untuk bertemu mereka dan ingin menjaga semula anaknya.
“Seorang ibu mana yang tidak rindu dan sayangkan anak.
“Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya bersama abang akan ke sana dari Sabah untuk bertemu dengan anak-anak,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, buat masa ini dia menunggu pihak polis menjalankan siasatan terlebih dahulu.
Jelasnya, jika dibenarkan selepas itu dia akan membawa anaknya pulang ke Kota Kinabalu, Sabah.
“Saya juga sangat berterima kasih dan bersyukur kerana penduduk di situ menyelamatkan anak saya dan mengambil berat apa yang berlaku di kawasan perumahan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata wanita itu lagi, anak lelaki saya seorang yang ceria dan suka bergurau sementara adiknya pula pendiam dan lebih suka bermain sendiri.
“Namun selepas kejadian ini sudah tentu mereka akan trauma,” katanya.
Media melaporkan dua beradik menjadi mangsa dera oleh ibu saudara dan suaminya di sebuah kondominium di Taman Cahaya.
Perbuatan mereka terbongkar selepas kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu cuba terjun dari tingkat empat kondominium itu ketika cuba melarikan diri. – UTUSAN