Didenda RM10,000 jual, kongsi filem cetak rompak di Telegram

Penganggur didenda RM10,000 jual, kongsi filem cetak rompak di Telegram

AHMAD Fairuzaman Ahmad Bolia ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Padah menjual dan berkongsi filem cetak rompak menerusi aplikasi Telegram, seorang penganggur dikenakan hukuman denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Hukuman tersebut dijatuhkan Hakim Diana Md. Razali kepada Ahmad Fairuzaman Ahmad Bolia, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas lelaki itu mengaku salah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Berdasarkan pertuduhan kes, bapa kepada tiga anak itu didapati dengan cara dagangan mempamer kepada awam lima salinan langgaran karya filem melalui aplikasi Telegram, Ahmad Faibers.

Ia ditunjukkan dalam bentuk bergerak termasuk bunyi bagi lima filem hak milik sebuah syarikat penyiaran tatkala hak cipta wujud dan masih wujud bagi syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan OKS di sebuah rumah di Taman Desa Melor, di sini, pada pukul 10 malam, 18 Mac 2021.

Oleh itu, Ahmad Fairuzaman didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(e) Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(i) akta yang sama iaitu denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap langgaran.

Dia juga boleh dipenjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azmil Aspara yang kemudian memohon hukuman sewajarnya dikenakan terhadap OKS.

Menurut Azmil, perbuatan OKS dalam kes itu  tidak bertanggungjawab dan sekiranya dibiarkan boleh menyebabkan kerugian yang besar kepada pemilik hak cipta itu dan menjejaskan industri perfileman di negara ini.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menyesal selain tiada pengetahuan terhadap kesalahan yang dilakukannya itu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadapnya dan memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu. 

Ahmad Fairuzaman membayar denda tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.