CGPA4 tak jamin masuk universiti

CGPA4.0 tak jamin masuk universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Permohonan kemasukan ke universiti awam untuk menyambung pengajian bagi program Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2022/2023 sengit kerana terlalu ramai calon  mendapat skor tinggi dalam keputusan peperiksaan masing-masing.

Situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf tidak berpeluang mendapat tempat untuk meneruskan pengajian walaupun memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 Mata Penuh.

Malah jika mendapat tempat pula, ada yang mengeluh kerana mendakwa kos pilihan atau universiti yang diberikan adalah pilihan terakhir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia sumber pendidikan tinggi berkata,  penerimaan kemasukan ke universiti sebenarnya tidak bergantung kepada markah tinggi semata-mata yang melayakkan mereka diterima masuk ke universiti.

Sebaliknya, menurut beliau, pelajar-pelajar terbabit  perlu bersaing dengan pelajar lain yang mempunyai kelayakan yang sama selain pilihan kos dan universiti ternama juga memainkan peranan peluang mereka diterima ke universiti pilihan.

“Sebagai contoh di Universiti Malaya (UM), lebih 2,000 memohon mengikuti  jurusan perubatan. UM  tidak ambil kira pelajar itu berdasarkan merit tinggi atau memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 Mata Penuh semata-mata tetapi pelajar-pelajar itu juga perlu melalui tapisan lain seperti temu duga dan sebagainya.

“Terlampau ramai pelajar skor tinggi, jadi tidak semestinya mereka ini layak masuk universiti tetapi bergantung kepada faktor-faktor lain juga. Tetapi ia tidak bermakna sistem permohonan UPU (Unit Pengambilan Universiti) kucar-kacir dan tidak adil,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, sumber itu berkata, bagi memastikan pelajar tidak ‘kecewa’ untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam, mereka  dinasihatkan mendapatkan nasihat atau konsultasi terlebih dahulu sebelum mengisi borang permohonan ke mana-mana universiti melalui UPU.

Dari sini, katanya, pihak konsultasi akan memberikan panduan berdasarkan keputusan markah dan merit masing-masing untuk memilih kos dan universiti yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan seseorang pelajar itu  sekali gus memberi peluang cerah kepada mereka untuk mendapat tempat pengajian.

“Ada penilaian lain yang dibuat dan bukan  berdasarkan merit bukan semata-mata dapat CGPA 4.0, kalau keputusan baik sekalipun kalau salah memilih kos atau universiti, maka peluang untuk masuk universiti adalah tipis.

“Contohnya kalau nak bidang undang-undang tetapi pilih di UM yang menetapkan merit tinggi, sudah tentu peluang untuk diterima masuk agak sukar kerana ramai memilih universiti yang sama.

“Tetapi kalau pelajar itu  memilih universiti lain tetapi bidang pengajian yang sama, mungkin ada harapan. Jadi kita nasihatkan pergi dapatkan konsultasi dahulu sebelum membuat permohonan,” katanya.

Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke UA bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf Sesi Akademik 2022/2023  diumumkan pada 25 September lalu.

Bagaimanapun, pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran program pengajian boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dalam tempoh 10 hari sehingga 4 Oktober ini.

Untuk itu, pihak KPT membuka kaunter konsultasi dan runding cara untuk memberi bimbingan kepada semua pemohon rayuan sepanjang tempoh rayuan kemasukan ke UA dibuka. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN