Kumpulan BPMB terima mandat lebih RM7 bilion

Kumpulan BPMB terima mandat lebih RM7 bilion

BPMB diberi mandat melaksanakan inisiatif strategik bernilai lebih RM7 bilion merangkumi tujuh sektor keutamaan di bawah Belanjawan 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Kumpulan BPMB) diberi mandat melaksanakan inisiatif strategik bernilai lebih RM7 bilion merangkumi tujuh sektor keutamaan di bawah Belanjawan 2027, bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara serta menyokong pertumbuhan industri berimpak tinggi.

Kumpulan BPMB berkata, peruntukan itu meliputi sektor kelestarian, eksport, pengangkutan dan logistik, keusahawanan, industri bernilai tinggi, pelancongan serta infrastruktur, selaras dengan usaha memperluas akses pembiayaan dan memperkukuh kapasiti perniagaan tempatan.

“Daripada jumlah berkenaan, sektor kelestarian menerima peruntukan terbesar sebanyak RM2 bilion menerusi Dana Kelestarian Alam 2.0 bagi menyokong peralihan kepada operasi rendah karbon, selain RM50 juta disediakan melalui Fasiliti Peralihan Tenaga Negara (NETF).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sektor eksport pula diperuntukkan RM1 bilion bagi memperkukuh keupayaan syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa menerusi Program Pemacuan dan Pertumbuhan Tempatan serta Skim Eksport Lonjakan yang masing-masing menerima RM500 juta,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Kumpulan BPMB berkata, sokongan turut diberikan melalui geran Malaysia Global Connect (MGC) GoExport Cover sebanyak RM5 juta dan Program Eksport Perniagaan berjumlah RM3 juta bagi membantu memperluas peluang serta keupayaan eksport perusahaan tempatan.

Katanya, bagi sektor pengangkutan dan logistik, peruntukan RM1 bilion disediakan untuk menyokong pembangunan industri berkaitan, termasuk pengangkutan, logistik, maritim serta minyak dan gas yang menerima RM800 juta, manakala RM200 juta diperuntukkan kepada Program Aeroangkasa, termasuk aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO).

“Dalam usaha memperkukuh pertumbuhan usahawan, khususnya perusahaan tempatan, sektor keusahawanan menerima peruntukan RM858 juta yang merangkumi RM600 juta bagi Program Pembangunan Ekonomi Bumiputera, RM100 juta untuk MySMELady 3.0 dan RM150 juta menerusi Ekosistem Payung.

“Selain pembiayaan, geran Maju Usahawan Madani 3.0 sebanyak RM8 juta turut disediakan bagi membantu memperkasa pembangunan usahawan dan menyokong pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Kumpulan BPMB berkata, sektor industri bernilai tinggi menerima RM750 juta, termasuk RM500 juta bagi Dana Adaptasi Teknologi dan RM250 juta untuk Program Pembiayaan Semikonduktor, mencerminkan tumpuan terhadap pembangunan sektor berteknologi serta berpotensi tinggi.

Katanya, RM700 juta diperuntukkan menerusi Tabung Khas Pelancongan berjumlah RM200 juta dan Program Pelancongan sebanyak RM500 juta bagi merancakkan industri pelancongan, manakala sektor infrastruktur menerima RM700 juta melalui Program Infrastruktur MADANI.

Tambahnya, keseluruhan peruntukan itu mencerminkan peranan Kumpulan BPMB dalam menyalurkan pembiayaan pembangunan kepada sektor strategik, selain membantu perusahaan dan industri mendapatkan sokongan kewangan bagi mengembangkan operasi serta meningkatkan daya saing.

“Mandat berkenaan turut memperkukuh kedudukan Kumpulan BPMB sebagai institusi pembangunan kewangan negara yang menyokong agenda ekonomi kerajaan melalui pembiayaan berfokus kepada sektor yang mempunyai kepentingan strategik kepada pertumbuhan negara.

“Kami sebelum ini menyatukan SME Bank Malaysia Berhad (SME Bank) dan EXIM Bank Malaysia Berhad (EXIM Bank) sebagai anak syarikat BPMB berkuat kuasa 1 Mei 2025, bagi memperkukuh penyelarasan pembiayaan pembangunan dan sokongan kepada perusahaan serta aktiviti perdagangan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini