Bukan kerajaan tentukan kadar OPR - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Bukan kerajaan tentukan kadar OPR – Tengku Zafrul

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz menyampaikan peruntukan kepada usahawan di bawah Tabung Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN) disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada Program Jelajah Usahawan dekat Bandar Malawati di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang naik baru-baru ini tidak ditentukan oleh kerajaan, sebaliknya keputusan tersebut dibuat oleh jawatankuasa bebas di bawah Akta Bank Negara 2009.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak mencampuri keputusan jawatankuasa tersebut, namun menjelaskan perkembangan itu adalah positif dan dilakukan oleh negara lain di seluruh dunia.

Beliau menjelaskan, kenaikan OPR dijangka dapat mengimbangi kadar inflasi di seluruh dunia walaupun negara kini mencatatkan kadar yang paling rendah di rantau ini iaitu 2.8 peratus.

“Adakah tinggi? Saya rasa kalau dibandingkan dengan pertumbuhan ekonomi pada suku pertama sudah 6.9 peratus, pada suku kedua adalah 8.9 peratus dan pertumbuhan sebelum ini pada pandemik Covid-19 pada tahap tiga peratus. Sejak 2013 sudah 10 tahun, masih lagi rendah.

“Jadi, dasar kewangan kita masih lagi akomodatif. Kemudian OPR juga tidak ada kena mengena dengan bank, OPR naik bank pun kena bayar kadar faedah yang lebih tinggi kepada pendeposit, bukan sahaja pinjaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Jelajah Usahawan dan Koperasi anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), hari ini.

Malah Tengku Zafrul menjelaskan, pelabur tempatan terutama dalam sektor kewangan akan lebih tertarik untuk melabur di negara-negara yang mempunyai kadar OPR tinggi sekali gus menyebabkan kerugian dalam aliran tunai ringgit.

“Secara asasnya kalau seluruh dunia menaikkan OPR mereka, dan ada pelabur, mereka akan pergi ke negara yang mempunyai dasar kewangan kukuh, sama macam kalau you hendak masuk duit ke dalam bank A di Malaysia dan mereka beri dua peratus (dividen) tetapi bank B di Amerika Syarikat beri lima peratus.

“Ringgit akan keluar masuk ke dalam Amerika Syarikat, ini akan menyebabkan mata wang kita terjejas kerana semua negara menaikkan kadar OPR masing-masing,” jelasnya.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Malah BNM dijangka menaikkan sekali lagi kadar tersebut sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) terakhir pada November ini.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul memaklumkan kadar OPR tersebut masih rendah dan kenaikannya sejak Januari lalu hanya 75 mata asas berbanding negara lain yang mencecah sehingga 250 mata asas.

Dalam pada itu, beliau berharap persepsi masyarakat terhadap kenaikan OPR dapat diperbetulkan iaitu kerajaan tidak menentukan kadarnya dan peningkatan itu perlu dilihat dari sudut positif.

“Kita seperti negara-negara lain, kerajan tidak masuk campur urusan ini seperti di Amerika Syarikat juga ada federal reserve dan juga negara-negara lain. Jadi, itu harus diperbetulkan, tidak benar kerajaan yang tentukan OPR. Kedua, OPR kalau kita lihat ia tinggi, betul ke?” Soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN