Johor sasar bina 100,000 rumah mampu milik menjelang 2030 - Tunku Mahkota Ismail - Utusan Malaysia

Johor sasar bina 100,000 rumah mampu milik menjelang 2030 – Tunku Mahkota Ismail

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan hadir menyempurnakan Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor yang ke-15 di Kota Iskandar, Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu sasaran pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2030 direalisasikan kerajaan negeri bagi memastikan semua rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.

Baginda bertitah, kemudahan tempat tinggal untuk rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan pihaknya dan usaha ke arah itu perlu diteruskan secara konsisten.

“Saya dimaklumkan sejak 2022, sebanyak 21,085 unit RMMJ telah disiapkan dengan lebih 16,000 telah didiami. Pada masa sama lebih 26,000 rakyat dibantu memilki rumah pertama; penyediaan subsidi bina baharu kepada 1,500 penerima; pemberian rumah percuma kepada lebih 1,000 ketua isi rumah dan membaiki pulih 4,000 rumah daif serta 12 projek perumahan rakyat telah dilaksanakan.

“Saya harap sasaran meningkatkan pemilikan rumah termasuk 40,000 unit RMMJ diamond menjelang 2027 serta mencapai 100,000 unit menjelang 2030 dapat direalisasikan melalui perancangan rapi dan berkesan,” titah baginda ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor yang ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sementara itu, baginda turut bertitah bahawa kekuatan sesebuah negeri terletak kepada kualiti modal insan yang dilahirkan khususnya melibatkan golongan muda.

“Saya ingin lihat pendidikan anak Johor terus berada pada landasan yang betul melalui pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan secara tersusun dan berterusan. Saya bangga lihat perkembangan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

“Inisiatif ini telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan seiring dengan usaha kerajaan negeri memperluas sokongan kepada mahasiswa dan pelajar melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk insentif, bantuan yuran persekolahan serta kemudahan pengangkutan dan tiket penerbangan,” katanya.

Pada masa sama, baginda turut memuji sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung dengan tertib, teratur dan penuh hormat yang mencerminkan kematangan demokrasi serta budaya politik matang di negeri ini.

“DUN Johor merupakan dewan mulia dan menjadi wadah penting untuk merangka dasar serta mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan rakyat. Rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan wakil rakyat. Oleh itu, segala usaha baik yang telah dilaksanakan perlu diteruskan, manakala kelemahan yang ada harus segera diperbaiki.

“Setiap keputusan dan dasar yang dibuat mestilah benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memastikan pembangunan negeri berjalan seimbang. Semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) perlu fokus terhadap amanah yang telah diberi dan tidak menganggap tugas mereka sekadar hadir ke persidangan semata-mata,” titahnya lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN