Pakai jaket dalam kelas untuk sembunyi kesan dera oleh bapa

Pakai jaket dalam kelas untuk sembunyi kesan dera oleh bapa kandung

dera
KESAN kecederaan di sebahagian badan kanak-kanak lelaki yang disyaki didera bapanya sejak dua bulan lalu di rumah mereka di Taman Desa Jaya, Sungai Petani di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang murid lelaki berusia tujuh tahun cedera di badan, muka, siku, telinga dan bibir disyaki menjadi mangsa dera bapa kandungnya di Taman Desa Jaya, di sini sejak Julai lalu.

Perkara itu terbongkar apabila disedari oleh guru termasuk tindakan mangsa memakai jaket ketika dalam kelas.

Mangsa yang merupakan anak tunggal itu tinggal bersama bapanya yang berusia 29 tahun dan ibu tiri sejak setahun lalu selepas ibu bapa kandungnya berpisah.

Sebelum ini, mangsa dijaga neneknya di Tanjung Dawai tetapi dibawa bersama bapanya serta bersekolah di Pekan Lama, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penderaan terhadap mangsa disedari guru kelasnya semalam selepas ternampak muka kanak-kanak itu ada kesan merah, selain memakai jaket di dalam kelas.

“Guru yang memeriksa badan mangsa terkejut mendapati terdapat calar di seluruh badan, bengkak di siku, luka di telinga kiri dan kesan lebam di seluruh badan.

“Bimbang anak muridnya menjadi mangsa dera, guru kelas itu memaklumkan kepada Guru Penolong Kanan sekolah terbabit sebelum mangsa dibawa untuk membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zaidy, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan pemeriksaan perubatan di badan mangsa mendapati dia menjadi mangsa dera dan kini ditempatkan diwad untuk rawatan susulan.

“Polis kemudian menahan bapa kandung mangsa dan hasil siasatan lelaki itu mengaku memukul anaknya menggunakan rotan, batang penyapu dan senduk plastik sejak dua bulan lalu.

“Lelaki itu memberi alasan dia terpaksa bertindak demikian kerana anaknya didakwa degil dan hiperaktif’,” katanya.

Katanya, suspek yang bekerja kilang kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 27 September untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya