Bekas Ketua Perancang Pos didakwa ambil suapan RM248,000 - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Perancang Pos didakwa ambil suapan RM248,000

HAZRI Mokhtar diiring keluar anggota SPRM dari Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM248,000. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah menerima suapan bernilai RM248,000, bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dengan 26 pertuduhan rasuah.

Tertuduh, Hazri Mokhtar, 43, mengaku tidak bersalah sejurus selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan bernilai RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh Pos Malaysia Berhad kepada OnxOn Logistik Sdn. Bhd., bagi kerja-kerja outsourcing linehaul dan shuttle services di Sabah dan Sarawak.

Kesemua wang suapan berjumlah antara RM5,000 sehingga RM15,000 itu diperoleh melalui pindahan ke dalam dua akaun miliknya daripada syarikat terlibat.

Kesalahan itu dilakukan antara 8 Julai 2020 sehingga 11 Oktober 2021 di Bank Simpanan Nasional (BSN) di Lot 779 Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi. 

Timbalan Pendakwa SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan  RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohammad Amir Aizat Abd. Rani merayu jaminan dikurangkan dengan alasan tidak lagi bekerja di syarikat itu dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM35,000 dengan syarat penjamin adalah isteri tertuduh dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 2 November depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN