fbpx

Bapa mengaku tujuh tahun rogol dua anak kandung

rogol
TERTUDUH mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas 28 pertuduhan melibatkan kesalahan rogol, seks luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandungnya. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA: Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan membabitkan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandungnya, sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh 56 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan keputusan hukuman sehingga esok bagi menyemak fakta kes.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anak kandungnya sejak mangsa berusia 12 tahun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa dengan enam pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap salah seorang mangsa, yang mana satu pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Sementara itu, lima pertuduhan lagi didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Tertuduh turut mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 16 pula memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan sebat.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Thamby Chik dalam daerah Melaka Tengah antara 24 September 2015 hingga 5 September 2022.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan sebanyak RM96,000.

Dalam pada itu, dalam prosiding berasingan, bapa kepada lima anak itu turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap isteri dan anak-anak.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi sama kira-kira pukul 11 pagi pada 5 September 2022.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan esok sebagai tarikh jatuh hukum dan jaminan sebanyak RM4,000 ditawarkan kepada tertuduh. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN