KUALA LUMPUR: Bank-bank perdagangan di negara ini diarah mengambil lima langkah untuk mengukuhkan perlindungan terhadap simpanan pengguna termasuk beralih daripada penghantaran kata laluan sekali sahaja (OTP) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.
Ia bagi memastikan ciri-ciri keselamatan sedia ada diperketat dan ditingkatkan untuk membanteras kegiatan penipuan kewangan.
Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, peralihan ciri keselamatan itu turut melibatkan transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta pertukaran maklumat peribadi dan penetapan akaun.
Katanya, bank juga diarah memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan scam.
“Pelanggan akan dimaklumkan serta-merta apabila sebarang aktiviti seperti ini dikesan pada akaun perbankan mereka dan sebagai langkah tambahan, institusi kewangan juga akan menyekat transaksi-transaksi tersebut dan pelanggan akan diminta memberikan pengesahan sebelum transaksi boleh diteruskan.
“Ketiga, tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama bagi perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti yang selamat akan dilaksanakan. Semasa tempoh ini, sebarang aktiviti perbankan dalam talian tidak akan dibenarkan,” katanya dalam ucapan majlis pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan, di sini semalam.
Mengulas isu sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani berkata, kes jenayah komersial menunjukkan trend peningkatan sejak tiga tahun lalu.
Katanya, sebanyak 12,092 kes dengan nilai kerugian RM414.8 juta direkodkan sejak Januari hingga Julai lalu. Pada tahun 2021, sebanyak 20,701 kes dicatatkan dengan nilai kerugian RM560.8 juta.
“Sebanyak 13,703 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM539 juta pada 2019, manakala sebanyak 17,227 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM511.2 juta pada 2020.
“Bagi tempoh dari 2019 hingga Julai lalu, seramai 33,147 suspek kes penipuan siber telah ditangkap dan 22,196 kes jenayah atas talian berjaya dituduh di mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, langkah berikutnya ialah pelanggan akan dihadkan kepada hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian.
“Kelima, bagi membantu mangsa scam, kesemua bank dikehendaki menyediakan talian hotline khusus untuk aktiviti penipuan kewangan, di samping meningkatkan tahap respon dan maklum balas ke atas laporan penipuan kewangan yang dibuat oleh pelanggan mereka.
“Institusi kewangan juga dikehendaki untuk menyelaraskan langkah-langkah pemulihan dana dan kawalan, termasuk bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan kerugian kewangan mangsa scam selanjutnya tidak berlaku.
“Selain itu, institusi kewangan juga dikehendaki menyediakan cara yang mudah untuk pelanggan mereka menggantung akaun bank mereka sekiranya akaun tersebut disyaki terlibat dengan scam, kemudiannya mengaktifkan semula akaun tersebut dalam tempoh masa yang munasabah selepas pengesahan dibuat,” ujarnya.
Menurut Nor Shamsiah, kawalan keselamatan yang lebih ketat bertujuan menghindari penjenayah daripada menipu mengguna, justeru ia akan menyebabkan urusan perbankan dalam talian pelanggan menjadi sedikit rumit.
“Contohnya, transaksi perbankan dalam talian mungkin akan mengambil sedikit masa dan institusi kewangan akan melakukan lebih banyak semakan apabila pelanggan memohon menukar atau mendaftar nombor telefon baharu.
“Walaupun ia akan mendatangkan sedikit kerumitan, langkah-langkah kawalan tersebut adalah penting untuk melindungi kepentingan para pelanggan.
“Bagi melaksanakan langkah-langkah ini, BNM dan industri kewangan akan terus dengan teliti memastikan keseimbangan antara keselamatan dengan keselesaan pengalaman atau kemudahan pelanggan,” katanya. – UTUSAN









