KUALA LUMPUR: Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sama ada perlu dikekalkan atau sebaliknya perlu diputuskan Perdana Menteri ekoran perkembangan semasa melibatkan kedua-dua pemimpin itu pada masa ini.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, ini kerana Muhyiddin tidak seharusnya menyalahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikutan masalah ekonomi negara, sebaliknya beliau juga perlu memainkan berdasarkan jawatan yang digalasnya kini.
“Apa gunanya mengekalkan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN jika cadangan beliau dan MPN tidak diendahkan dan diketepikan?
“Ismail perlu membuat keputusan sebelum bulan depan sama ada akan tunduk kepada tekanan dan kepentingan politik UMNO yang menggesa pilihan raya umum ketika musim tengkujuh tahun ini. Tetapi dia mesti melakukannya daripada kedudukan yang kuat serta berkuasa dan bukan dengan kerajaan yang berpecah-belah,” katanya menerusi WhatsApp, semalam.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menganggap ada keperluan untuk penggantinya Ismail Sabri membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan yang lebih efektif.
Dalam catatan di laman media sosialnya, Muhyiddin menegaskan, apa yang dilihat beliau adalah situasi pengurusan ekonomi dan negara pada masa kini agak meruncing.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, sudah sampai masa Ismail Sabri membuat ketetapan selepas Muhyiddin secara langsung mencabarnya dengan jelas mengatakan bahawa pengurusan ekonomi sangat lemah.
“Tidak ada gunanya Ismail dan Muhyiddin saling menyalahkan mengenai siapa yang harus bertanggungjawab kerana gagal menguruskan ekonomi dengan menyatakan Menteri Bersatu di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi yang menguruskan ekonomi,” katanya. – UTUSAN









