SQD-Mini LED 2026: TCL perkukuh pasaran Malaysia

SQD-Mini LED 2026: TCL perkukuh pasaran Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan industri teknologi global TCL memperkenalkan strategi produk dan komersialnya untuk Malaysia bagi tahun 2026 dengan pelancaran sulung proprietarinya, teknologi SQD-Mini LED serta portfolio penuh produk rumah pintar.

Pengarah Urusan TCL Malaysia, M S Carolyn berkata, langkah ini dijangka mengukuhkan fokus TCL terhadap segmen pertengahan hingga premium dan pengembangan pasaran luar negara.

Menurutnya, Malaysia juga adalah pasaran pertumbuhan strategik bagi pengembangan Ekosistem Smart IoT TCL.

“Dengan teknologi SQD-Mini LED, kami bukan sekadar melancarkan produk, tetapi kami turut menetapkan penanda aras baharu bagi teknologi paparan dalam segmen premium,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Carolyn berkata, TCL juga giat membangunkan teknologi paparan termaju dan kecerdasan buatan dengan komitmen untuk memacu pembangunan serta aplikasi produk paparan berprestasi tinggi.

Tambahnya, setakat ini TCL telah melabur hampir RM170 bilion untuk membina rantaian industri bertaraf dunia dan menerajui kepemimpinan dari segi teknologi hingga ekosistem serta mengembangkan teknologi paparan baharu seperti OLED cetakan inkjet, Micro-LED dan Mini-LED.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran Mini-LED telah berkembang pesat dan kadar pertumbuhannya telah mengatasi OLED, menjadikannya teknologi pilihan untuk TV flagship (model perdana) di seluruh dunia.

“Kedudukan perintis dan kepemimpinan TCL dalam bidang Mini-LED bukan sahaja mencerminkan pilihan pasaran tetapi juga kekuatan teknologi,” katanya.

Menurut Carolyn lagi, syarikat juga dilaporkan akan mengkomersialkan tiga generasi Mini LED di Malaysia.

“Model flagship X11L, yang menampilkan SQD-Mini LED dengan kecerahan puncak 10,000 nits dan 20,736 zon peredupan tepat, menyasarkan segmen ultra-premium.

“Siri C8L dan C7L pula memperluaskan SQD-Mini LED ke pasaran volum tinggi premium dengan kecerahan hingga 6,000 nits. Kesemua model dilengkapi sistem audio yang ditala oleh Bang & Olufsen,” jelasnya.

Selain itu, TCL turut mengeluarkan produk penyaman udara yang mana model T-A1 dengan teknologi penjimatan tenaga pintar mampu menjimatkan hingga 37 peratus tenaga berbanding model konvensional.

Syarikat turut mengeluarkan produk peralatan rumah termasuk mesin basuh dan peti sejuk yang menekankan ciri estetika untuk segmen kediaman bandar premium.

TCL ditubuhkan pada tahun 1981, beroperasi sebagai dua kumpulan industri iaitu TCL Industries dan TCL Technology dengan 47 pusat R&D, 40 pangkalan pembuatan, 160,000 pekerja dan 124,271 paten. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN