SEREMBAN: Seorang wanita yang diuji dengan anak kembar lelaki menghidap celebral palsy kini bimbang apabila suami yang menjadi tempat bergantung mengalami masalah kesihatan kronik.
Salina Abu Bakar, 41, berkata, dua anak kembar, Muhammad Saifullah Samsul, 13, dan Muhammad Saifuddin, 13, dikesan menghidap penyakit itu secara serentak sejak berusia satu tahun.
“Pada mulanya dua beradik ini hanya mengalami demam dan sawan sebelum didapati menghidap celebral palsy, tetapi semasa lima bulan sudah nampak mereka sukar duduk dan berdiri.
“Kembar ini perlukan penjagaan dan perhatian penuh kerana keadaan fizikal serta kesihatannya yang mudah diserang sawan secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Pagi, Senawang di sini baru-baru ini.
Salina yang merupakan suri rumah memberitahu, dia reda selepas diuji dengan anak syurga yang menghidap celebral palsy namun kini suaminya, Samsul Kamarudin, 44, pula mempunyai masalah kesihatan asma kronik, darah tinggi dan kencing manis.
Jelas Salina, suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan setiap kali ke tempat kerja kerana dia sering mengalami sesak dada dan sukar bernafas.
“Suami sudah lama menghidap asma sejak 20 tahun lalu tetapi dia mula bergantung kepada alat bantuan pernafasan pada tahun ini sebab asmanya semakin kronik, dia pun selalu keluar masuk hospital untuk rawatan.
“Suami tidak boleh buat kerja terlalu berat, setiap hari dia bekerja syif malam bermula 7 malam hingga 7 pagi, jika tidak bekerja gaji akan dipotong,” katanya yang memberitahu gaji bersih suami sebanyak RM1,300 sebulan.
Salina berkata, suami yang merupakan tulang belakang keluarga pernah membuat pembedahan pada Oktober 2020 disebabkan ada nanah di dalam perut, ketika itu dia terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Ketika itu, saya terpaksa meminta bantuan kakak dan jiran untuk menjaga anak kembar, sekarang saya risau jika suami sakit.
“Selain itu, suami juga ada masalah batu karang hempedu, ada masa dia rasa mencucuk-cucuk dan sangat sakit tetapi pembedahan sangat berisiko dilakukan kerana dia ada masalah asma kronik,” katanya.
Tambah Salina, kos perubatan termasuk pengangkutan untuk rawatan suami di Hospital Tuanku Ja’afar kira-kira RM500 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh hubungi Salina, 017-3998755 atau melalui akaun bank BSN 0311829000273542 (Salina). – UTUSAN










