KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan berhubung kes tersebut sudah selesai sepenuhnya.
“Buat masa ini kita tunggu keputusan masalah ada nak tuduh atau macam mana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Utusan Malaysia 18 Mei lalu melaporkan, polis sudah mengambil 65 keterangan individu termasuk Nik Mohamad Zawawi Salleh berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina sahabat Nabi ketika menyampaikan ceramah politik di Terengganu.
Terdahulu, tular video memaparkan Nik Muhammad Zawawi mendakwa Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebagai ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa zaman jahiliyah manakala Saidina Umar al-Khattab pula digambarkan sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu tampil memohon maaf dan mengakui bahawa beliau kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika program tersebut.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Wan Rohimi Wan Daud yang didakwa menghina polis baru-baru ini.-UTUSAN










