Al-Quran tulisan tangan berusia 300 tahun dipulihkan

Al-Quran tulisan tangan berusia 300 tahun dipulihkan

TENGKU Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kanan) melihat naskhah al-Quran berusia 300 yang dipulihkan di Galeri Ulama Awliya Pondok Pok Kob di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Senaskhah al-Quran bertulisan tangan berusia 300 tahun milik ulama Pak Minhat yang merupakan koleksi Galeri Ulama Awliya Madrasah Raudhah AlMuhibbin, Chenor di sini berjaya dipulihkan menggunakan khidmat pakar tempatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, mudirnya, Barkatullah Mohd. Bahari, 39, berkata, pemulihan dan pemuliharaan al-Quran Pak Minhat itu melibatkan kos berjumlah RM10,000 dilakukan secara manual selama tiga bulan oleh sukarelawan iaitu Prof. Dr. Mohd. Fauzi Abd. Latif.

“Helaian al-Quran ini yang siap dijilid dan dibaik pulih boleh digunakan semula mengikut tempoh 50 tahun hingga 100 tahun akan datang,” katanya di sini semalam.

Barkatullah berkata, Galeri Ulama Awliya Pondok Pok Kob mempunyai keunikan tersendiri apabila menyimpan pelbagai khazanah dan artifak ulama silam Pahang, Terengganu dan Acheh.

Beliau berkata, madrasah itu turut menyimpan al-Quran bertulisan tangan berusia 200 tahun milik ulama dikenali sebagai Lebai Din.

Katanya, turut menjadi koleksi di situ ialah artifak kebudayaan Melayu Pahang silam seperti pakaian diraja, tanjak dan senjata kerana Chenor mempunyai kaitan dengan sejarah pahlawan Melayu.

Menurutnya, artifak lain ialah sebuah tempat letak serban dan tasbih milik Tok Ku Paloh atau Saiyid Abdul Rahman Saiyid Muhammad Al-Idrus.

“Tempat letak serban itu dihadiahkan kepada seorang muridnya dikenali Abdul Majid yang berasal dari Chenor,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Galeri Ulama Awliya juga memaparkan beberapa artifak peninggalan pahlawan dan ulama Terengganu, Abdul Rahman Limbong selain Tokku Paloh yang dihadiahkan kepada muridnya yang berasal dari Chenor.

Katanya, selain tempat letak serban, terdapat rotan gelung Abdul Rahman Limbong, kendi tempat wuduk Waliyullah Tun Cik Leh, tempat hidangan makanan Tokku Syed Saqqaf dan kitab karangan wali Allah Tuan Tabal.

“Galeri ini giat memelihara dan memulihara makam ulama awliya terkenal di sepanjang Sungai Pahang termasuk enam ulama sekitar daerah Chenor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya