PETALING JAYA: Dipanggil bela diri atau dibebaskan adalah antara kemungkinan bakal berlaku terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dibicarakan di atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB).
Selain itu, kemungkinan ketiga adalah Presiden UMNO tersebut dibebaskan sebahagian pertuduhan dan perlu membela diri baki pendakwaan lain.
Segalanya bergantung kepada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor esok setelah meneliti dan menilai keterangan saksi dan hujahan selepas 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 24 Mei tahun lalu.
Jika Ahmad Zahid dikehendaki membela diri, beliau diberi tiga pilihan iaitu boleh memilih untuk berdiam diri. Pilihan kedua, boleh membela diri dengan memberi keterangan dalam kandang orang kena tuduh (OKT) dengan opsyen itu, pihak pendakwa tidak boleh atau tidak dibenarkan soal balas.
Pilihan terakhir, Ahmad Zahid boleh membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah dan boleh disoal balas.
Jika bebas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dapat menarik nafas lega kerana tidak perlu membela diri di atas pertuduhan dihadapinya.
Pada 11 Ogos lalu, pendakwaan menutup kes itu selepas 18 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 24 Mei tahun lepas.
Saksi terbabit termasuk dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun serta Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani, manakala Ahmad Zahid diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).
Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018. – UTUSAN










