Ahmad Dzaffir Ketua Polis Negeri Sembilan baharu

Ahmad Dzaffir Ketua Polis Negeri Sembilan baharu

RUSLAN Khalid (kiri), menyerahkan tongkat kuasa kepada Ahmad Dzaffir (kanan) sambil diperhatikan oleh Azri pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menerima Ketua Polis Negeri yang baharu apabila, Deputi Komisioner Polis (DCP) Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof  menggantikan Datuk Ruslan Khalid berkuatkuasa hari ini. 

Ahmad Dzaffir yang merupakan bekas Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur akan menggantikan Ruslan yang akan bersara wajib selepas lima bulan berkhidmat di Kontinjen Polis Negeri Sembilan. 

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad yang berlangsung di IPK Negeri Sembilan di sini hari ini. 

Turut berlangsung, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Negeri Sembilan antara Datin Rohayah Harun dengan Deputi Superitenden Erny Yusnida Che Yusoff. 

Ahmad Dzaffir ketika ditemui selepas majlis tersebut berharap dapat menjalankan tugas seperti mana fokus yang ditekankan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani iaitu memperkasakan integriti, memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan mendukung dasar-dasar kerajaan untuk kesejahteraan masyarakat.

“Selain itu, menjadi misi dan fokus utama saya untuk membanteras segala jenis aktiviti bersindiket termasuk perjudian, dadah dan sindiket ‘scam’.

“Yang mana kita tahu ‘scam’ adalah trend yang terkini sejak Covid-19 dan ramai yang menjadi mangsa melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit,” katanya.

Beliau yang dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 31 tahun .

Ruslan pula melahirkan rasa terima kasih dan bangga kerana selama bertugas di IPK Negeri Sembilan beliau telah mendapat sokongan yang padu dan jitu daripada seluruh warga PDRM kontinjen tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya