GEORGE TOWN: Pemimpin parti DAP negeri ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dibuat berhubung bayaran RM1.4 juta yang didakwa dibuat kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Laporan itu dibuat semalam di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima daripada DAP, Syerleena Abdul Rashid yang turut disertai Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selaku wakil peguam.
Syerleena berkata, beliau membuat laporan SPRM terhadap Abdul Hadi itu kira-kira pukul 10 pagi semalam dan laporan itu selesai dibuat pukul 1 tengah hari.
“Kami telah memberikan bukti seperti dokumen berkaitan kepada SPRM, namun kami telah diminta untuk tidak mendedahkan semua hal berkaitan isu ini memandangkan siasatan sedang berjalan.
“Kami mengadakan sidang akhbar hari ini untuk memaklumkan kepada orang ramai satu laporan SPRM terhadap Abdul Hadi telah dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Pada 2019, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown mengesahkan ada menerima RM1.4 juta untuk menyelesaikan kes saman dengan Abdul Hadi di luar mahkamah.
Katanya, Abdul Hadi sudahpun membuat pembayaran menerusi peguamnya, Americk Sidhu.
Dalam pada itu, Rayer berkata, pihaknya menuntut SPRM menyiasat Abdul Hadi di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Kita tidak membuat apa-apa tuduhan, namun kami menuntut Abdul Hadi disiasat di bawah akta-akta tersebut,” katanya. – UTUSAN










