Abdul Azeez kemuka representas batal baki 9 pertuduhan

Abdul Azeez kemuka representasi terbaharu batal baki 9 pertuduhan

ABDUL Azeez Abdul Rahim hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes rasuah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengemukakan representasi kelima kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membatalkan baki sembilan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, pihak pendakwaan menerima representasi terbaharu pada Isnin lalu namun masih belum dibawa kepada perhatian Peguam Negara.

Beliau yang hadir bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berkata, meskipun isu-isu yang dibangkitkan dalam representasi itu sama seperti yang terkandung dalam representasi terdahulu, pihaknya perlu mendapatkan arahan lanjut daripada Peguam Negara.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Baling itu mengesahkan pihak pembelaan telah mengemukakan representasi berkenaan pada 5 September lalu.

Menurut beliau, representasi itu dihantar ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada hari yang sama yang membatalkan empat daripada 10 pertuduhan pengubahan haram yang dikenakan terhadap anak guamnya.

Amer Hamzah menjelaskan, representasi itu yang merupakan susulan daripada representasi terdahulu, turut mengandungi fakta sama dikemukakan sebelum ini yang difahamkan masih dalam peringkat penelitian.

Sehubungan itu, peguam berkenaan memohon tarikh sebutan ditetapkan dalam bulan ini untuk maklum balas perkembangan representasi.

Sementara itu, Nik Haslinie berkata, beliau menerima arahan untuk mendapatkan tarikh sebutan dalam tempoh dua minggu bagi memaklumkan status representasi.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 23 September ini bagi sebutan kes untuk memaklumkan kepada mahkamah serta menetapkan tarikh perbicaraan jika representasi ditolak.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi memaklumkan keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lalu yang menolak rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan iaitu tiga rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said bagaimanapun membenarkan sebahagian rayuan Abdul Azeez dan menggugurkan empat pertuduhan pengubahan wang haram iaitu pertuduhan ketiga, ketujuh, kelapan dan kesembilan.

Keempat-empat pertuduhan yang digugurkan itu melibatkan kesalahan yang didakwa dilakukan di sekitar Lembah Kelang iaitu isu yang dipertikai oleh pihak pembelaan berhubung bidang kuasa tempatan mahkamah sesyen.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali memerintahkan perbicaraan diteruskan terhadap tiga pertuduhan rasuah dan baki enam pertuduhan pengubahan wang haram.

Panel itu berpuas hati baki sembilan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak cacat mahupun memprejudiskan perayu manakala pendakwaan bukan dilakukan atas niat jahat (mala fide).

Mahkamah turut berpendapat, tiga pertuduhan rasuah juga tidak bertindan di antara satu sama lain yang boleh menyebabkan Abdul Azeez selaku perayu terkeliru sehingga menyukarkannya mengemukakan pembelaan.

Abdul Azeez pada asalnya didakwa pada 16 Januari 2019 atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 tuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Bagi ketiga-tiga pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa menerima suapan daripada syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. iaitu RM1.2 juta bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM2 juta bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Suapan itu didakwa diterima melalui akaun miliknya sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek jalan raya daripada Kerajaan Malaysia yang nilainya mencecah RM1.47 bilion.

Kesalahan pertama didakwa dilakukan di CIMB Bank Jalan Tun Perak pada 8 Disember 2010, kesalahan kedua di Affin Bank Bhd. di Pusat Bandar Puchong pada 13 Jun 2017 manakala kesalahan ketiga pada 10 April 2018 juga di Puchong, Selangor.

Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Abdul Azeez turut dibicarakan terhadap baki enam pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi lima pertuduhan, Abdul Azeez didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM530,000 daripada syarikat yang sama di antara 6 September 2010 dan 31 Disember 2015 di dua bank berbeza iaitu di Jalan Raja Chulan dan Jalan Maarof, Bangsar.

Satu lagi pertuduhan, Abdul Azeez didakwa memiliki kenderaan Toyota Vellfire bernilai RM442,414.60 yang diperolehi daripada syarikat Menuju Asas di No. 66A Jalan Kampung Attap di sini pada 7 Mac 2012. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya