Abai isyarat lalu lintas, 45 penunggang disaman di bandar Bentong

Abai isyarat lalu lintas, 45 penunggang motosikal disaman di bandar Bentong

SEORANG penunggang dikesan membuat pusingan U di celah kenderaan menuju ke Ketari berdekatan bandar Bentong, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan sebanyak 45 buah motosikal berikutan pelbagai kesalahan di kawasan lampu isyarat Sungai Marong di bandar ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, motosikal terbabit ditahan sempena Op Motosikal yang dijalankan satu jam bermula pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi semalam. 

“Antara kesalahan dikesan iaitu kebanyakan penunggang mengabaikan isyarat lalu lintas dan melintas di garisan berkembar di laluan Bukit Indah menuju ke Ketari.

“Operasi motosikal ini berikutan polis menerima aduan serta rungutan orang ramai tentang penunggang motosikal yang mengambil jalan mudah membuat pusingan U di celah kenderaan yang menuju ke Ketari dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri mahupun orang lain,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Zaiham, polis memandang serius cara penunggang motosikal yang sering mengabaikan isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan dan akan mengambil tindakan berasaskan undang-undang jalan raya.

“Polis kerap menerima aduan sikap penunggang sering mengambil jalan mudah untuk ke bandar Bentong dengan cara membuat pusingan U di laluan Bukit Indah,” katanya.

Justeru, tambahnya, operasi tersebut dijalankan untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan motosikal di kawasan itu selain memberikan keselesaan pengguna jalan raya di bandar ini.

“Polis akan meneruskan operasi untuk memastikan pemandu kereta dan penunggang motosikal di kawasan Bentong mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan serta mendidik mereka mengenai keselamatan jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN