40,000 mahasiswa anak Pahang dapat BPP 2022

40,000 mahasiswa anak Pahang dapat BPP 2022

PEGAWAI Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris (dua kanan ) turut menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster pendidikan tinggi 2022 di Pulau Tawar di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 40,000 mahasiswa negeri ini di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) diberi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) secara sekali bayar yang keseluruhannya berjumlah RM8 juta.

Penolong Pengurus Unit Audit Dalam Yayasan Pahang, Nurul Iman Nabilah Mohd. Solah berkata, bayaran BPP bagi kluster pendidikan tinggi 2022 ini dibuat secara berperingkat membabitkan penuntut tahun dua di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS). 

Menurutnya, mahasiswa tahun satu dikecualikan mendapat BPP kerana mereka sudah mendapat RM500 bantuan awal pengajian.

“Di daerah Jerantut sahaja membabitkan 923 orang penerima yang keseluruhannya berjumlah RM184,600. 

“Masing-masing menerima wang tunai RM200 bagi menambah duit poket,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian BPP peringkat daerah Jerantut di Dewan Terbuka Galeri Mat Kilau Simpang Pulau Tawar hari ini.

Program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah. 

Dalam ucapannya Nazri berkata, kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meletakkan sektor pendidikan sebagai keutamaan kerana ia aset jangka panjang negeri ini.

Seorang penerima yang juga mahasiswa Universiti Malaya, Nazihah Athirah Naznan, 23, mengakui BPP membantu menampung perbelanjaan harian khususnya membeli peralatan pembelajaran.

“Kami sebagai mahasiswa menghargai sumbangan kerajaan Pahang dan berharap bantuan seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa depan,” katanya.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Aina Batrisyia Asfazaffrin, 23, menyifatkan kerajaan Pahang sebagai ‘bapa’ yang peka dengan keperluan kewangan ‘anak’ yang bersengkang mata menuntut ilmu di menara gading.

“Dia tidak menyangka kerajaan Pahang berfikir di luar kotak demi membantu anak Pahang yang menuntut di IPT.

“Wang bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung keperluan mahasiswa di kampus yang berdepan dengan kenaikan kos hidup ketika ini,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya