PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 10 syarikat besar kini disiasat kerana terbabit menaikkan harga barangan mereka khususnya dalam ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, 10 syarikat itu telah diberikan notis menerusi Op Kesan yang dilaksanakan KPDN baru-baru ini.
Beliau berkata, semua syarikat terbabit telah dipanggil ke pejabat bagi memberi penjelasan termasuk diminta mengemukakan maklumat lengkap berhubung justifikasi kenaikan harga yang dilaksanakan.
“Tindakan itu diambil melalui pemantauan pegawai dan aduan awam serta industri terutama selepas tercetusnya ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan dan kos.
“Setiap syarikat yang dipanggil perlu membuktikan mengapa kenaikan harga itu perlu dilakukan. Kita mahu pastikan tidak berlaku elemen pencatutan dan harga yang ditawarkan kekal pada tahap munasabah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, setakat ini, pihaknya masih belum dapat mendedahkan nama syarikat terlibat memandangkan proses siasatan masih berjalan dan belum mencapai tahap membuka kertas siasatan rasmi.
Azman berkata, ketika ini, pihaknya hanya mengeluarkan notis bagi mendapatkan penjelasan dan sekiranya hasil analisa mendapati wujud unsur pencatutan, kertas siasatan akan dibuka sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Proses siasatan yang dijalankan adalah terperinci dan memerlukan penelitian terhadap pelbagai dokumen sokongan sebelum sesuatu kes boleh disahkan,” katanya.
Katanya, sepanjang tahun 2025, sebanyak 131 kes berkaitan pencatutan telah dihasilkan, manakala bagi tahun ini sahaja sebanyak 19 kes telah direkodkan setakat ini melibatkan nilai kompaun mencecah RM142,000,” katanya. – UTUSAN










