20 peratus pulang dari Thailand positif ganja

20 peratus pulang dari Thailand positif ganja

HAMPIR 20 peratus rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand didapati positif dadah hasil ujian rambang air kencing yang dilakukan oleh polis di sempadan negara. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hampir 20 peratus rakyat negara ini yang pulang dari Thailand dikesan positif ganja hasil saringan secara rambang oleh polis di pos kawalan Wang Kelian dan Padang Besar.

Angka berkenaan berdasarkan saringan rambang ke atas 71 orang rakyat Malaysia yang baru pulang dari negara jiran itu yang menghalalkan penggunaan ganja sejak 9 Jun lalu.

Daripada 71 orang yang disa­ring itu 12 individu positif ganja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dalam Op Tapis Sempadan di pos-pos tersebut pada 23 hingga 23 Julai lalu, polis melakukan 96 pemeriksaan dengan 71 daripadanya menjalani saringan ujian air kencing dan 12 individu didapati positif.

Katanya, sepanjang tahun ini pula, sebanyak 1,612 ditahan membabitkan 1,561 warga tempatan dan 51 warga asing.

Justeru, beliau mengingatkan mana-mana rakyat Malaysia dengan sengaja cuba dan mengambil dadah atau apa-apa produk berkaitan ganja yang menyebabkan khayal akan didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Individu yang membawa masuk produk berasaskan ganja juga merupakan kesalahan di bawah akta yang sama dan akan dituduh memiliki dadah atau mengedar dadah jika dalam kuantiti yang besar,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, di sebalik tukaran ringgit dan baht belum menentu, rakyat Malaysia terus berpusu-pusu melancong ke Thailand khususnya di Hatyai iaitu salah satu lokasi popular dengan pelancong sempena musim cuti sekolah ketika ini.

Malah sejak Sabtu lalu, pintu sempadan di Padang Besar sesak dengan orang ramai yang ingin berkunjung ke negara jiran itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di Hatyai mendapati, pusat bandar di wilayah selatan Thailand itu dipenuhi pelancong Malaysia. Berjalan 10 langkah, pasti kedengaran dalam kalangan pelancong itu bertutur bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Surina berkata, kandungan ‘Delta- 9-tetrahydrocannabinol’ atau THC iaitu kandungan dadah dalam ganja boleh berada dalam badan seseorang individu itu lebih seminggu atau beberapa hari dan ia bergantung kepada badan mereka.

“Oleh itu, nasihat saya jangan ambil dadah atau produk dadah semasa berada di luar negara. Berhati-hati dengan sampel makanan di negara yang kita lawati, kemungkinan ia adalah produk daripada dadah ganja atau dadah jenis lain,” katanya.

Seterusnya Surina berkata, pelancong tempatan yang melawat negara luar yang memberi kebebasan pengambilan dadah perlu bertanggungjawab mengenainya.

Katanya, adalah sukar untuk mengambil ujian saringan kepada semua pelawat negara-negara terbabit kerana akan wujud implikasi undang-undang melibatkan tangkapan ke atas orang ramai yang memasuki sempadan ekoran melawat negara yang ‘legalize drugs’.

Jelasnya, untuk mengambil ujian saringan urin ke atas suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, pihak berkuasa perlu mempunyai keraguan yang munasabah untuk menangkap dan meminta mereka melakukan urin untuk tujuan saringan.

“Mengambil urin secara rambang atas dasar keraguan bahawa seseorang itu baru sahaja melawat negara yang menghalalkan dadah adalah tidak munasabah dan kemungkinan besar tindakan sivil akan diambil ke atas pihak berkuasa atas alasan salah guna kuasa.

“Namun semua pelancong yang baru pulang perlu ingat bahawa dadah diambil boleh berada dalam badan untuk sesuatu tempoh dan jika ditangkap contohnya di pusat hiburan selepas beberapa hari pulang dari negara berkaitan, mereka masih boleh dianggap memasukkan dadah ke dalam diri sendiri sekiranya ujian saringan positif,” katanya.

Dalam pada itu, Surina memberitahu, pihaknya bukan hanya menjalankan atau mempergiatkan pemeriksaan selepas Thailand menghalalkan dadah ganja di negara tersebut sebaliknya penguat kuasaan tersebut dijalankan berterusan.

Katanya, perlu diingat kedudukan geografi Malaysia masih berdekatan dengan pusat pengeluaran dadah Asia Tenggara iaitu di segi tiga emas.

“Kita sentiasa berjaga-jaga dalam semua segi bukan sahaja pemeriksaan malah pengumpulan risikan dan kerjasama antarabangsa negara jiran. Pemeriksaan di sempadan negeri bukan bersifat ‘ad hoc’ atau sementara ia adalah penugasan strategik jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya sentiasa memperketat kawasan sempadan dan menjalankan ujian saringan air kencing ke atas  warga tempatan yang pulang dari Thailand sejurus selepas negara jiran membenarkan penggunaan ganja.

Katanya, bagaimanapun ujian saringan air kencing itu sudah lama dilakukan sebelum Thailand membenarkan penggunaan ganja.

“Selepas Julai kita perketatkan lagi dan ujian itu dilakukan di semua pintu-pintu masuk ke negara ini. Kita buat secara rambang,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN